Jerebu : Daerah Serian catat IPU ‘Sangat Tidak Sihat’, 11 stesen pemantauan rekod IPU ‘Tidak Sihat’

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 stesen merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) ‘Tidak Sihat’ hari ini setakat pukul 3 petang tadi dan 1 stesen di Sarawak telah mendapat bacaan IPU pada tahap ‘Sangat Tidak Sihat’ iaitu di Serian (IPU-204).

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan memaklumkan stesen yang merekodkan IPU ‘Tidak Sihat’ ialah Cheras dan Kuala Lumpur (IPU-122), Putrajaya (IPU-121) dan Shah Alam, Selangor (IPU-112) di Semenanjung Malaysia.

“Di Sarawak, stesen merekodkan IPU ‘Tidak Sihat’ ialah Miri (IPU-152, Samalaju (IPU-120), Bintulu (IPU-154), Sibu (IPU-135), Sarikei (IPU-161), Sri Aman (IPU-158), Samarahan dan Kuching (IPU-177,” menurut kenyataan itu.

NRES memaklumka ketika ini negara sedang berhadapan dengan situasi jerebu sejak 8 Ogos lalu kerana fenomena El Nino yang berlaku serentak dengan Monsun Barat Daya pada masa ini.

Ia menyebabkan beberapa kawasan khususnya di selatan Semenajung Malaysia dan bahagian barat dan selatan Sarawak menerima taburan hujan yang lebih rendah daripada purata.

“Kombinasi taburan hujan yang lebih rendah dan suhu yang lebih tinggi berpotensi meningkatkan risiko kekurangan sumber air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu khususnya di kawasan yang mengalami keadaan kering untuk tempoh yang panjang,” katanya.

NRES menyatakan kemerosotan kualiti udara di Sarawak adalah disebabkan jerebu merentas sempadan dan kebakaran yang berlaku di Tapak Pelupusan Sampah di bawah Majlis Perbandaran Sibu (SMC) pada keluasan 1.5 hektar.

“Ada kebakaran hutan dan belukar di Sri aman dengan anggaran keluasan 100 hektar dan operasi pemadaman api masih giat dijalankan di kedua-dua lokasi,” demikian menurut kenyataan itu.

Berdasarkan pemantauan satelit NOAA-20 pada 11 Ogos 2026, sebanyak 12 titik panas dikesan di Malaysia iaitu 1 di Pahang dan 11 di Sarawak, manakala 60 titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia dan 354 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia.

“Di peringkat ASEAN, Tahap Amaran 2 telah diaktifkan pada 3 Ogos 2026. Negara-negara di selatan rantau ASEAN iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Timor Leste perlu mengemukakan Pelaporan Harian dan Tindak Balas Kecemasan bagi kejadian kebakaran, jerebu dan tindakan yang telah diambil,” katanya.

Kenyataan itu menjelaskan keadaan cuaca kering dijangka berterusan di kebanyakan kawasan di selatan rantau ASEAN kecuali di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan Sumatera yang diramalkan mengalami hujan.

“Keadaan kering yang berpanjangan boleh menyebabkan peningkatan kejadian titik panas dan jerebu, turut meningkatkan kemungkinan berlakunya jerebu rentas sempadan,” katanya.

NRES bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan terus memantau dan melaporkan perkembangan terkini cuaca, kualiti udara dan situasi jerebu dari semasa ke semasa.

“Orang awam di kawasan terjejas adalah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti di luar bangunan, memakai pelitup muka dan minum air secukupnya bagi mengekalkan hidrasi.

“Orang awam juga dilarang untuk melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelakkan situasi jerebu jadi semakin buruk,” katanya.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat