Onn Hafiz angkat sumpah Menteri Besar Johor penggal kedua, Isnin cuti umum di Johor

JOHOR BAHRU – Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua selepas Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam istiadat yang berlangsung di Istana Bukit Serene, petang ini.

Pelantikan semula Onn Hafiz dibuat selepas BN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan memenangi 48 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN yang dipertandingkan dalam PRN Johor pada Sabtu.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lapan kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN), Bersama dan parti-parti lain gagal memperoleh sebarang kerusi. Keputusan itu memberikan BN majoriti lebih dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri Johor.

Dalam kenyataan selepas istiadat berkenaan, Onn Hafiz menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas limpah perkenan terhadap pelantikannya sebagai Menteri Besar Johor.

Beliau turut merafakkan sembah menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Ismail atas perkenan serta kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk terus memikul amanah menerajui pentadbiran negeri.

Menurut Onn Hafiz, beliau akan terus melaksanakan tanggungjawab itu dengan penuh taat setia demi kemajuan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor.

“Saya sedar bahawa setiap keputusan yang akan dibuat selepas ini akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan Bangsa Johor.

“Justeru, saya berdoa agar Allah SWT terus membimbing setiap langkah, mengurniakan kebijaksanaan dalam membuat keputusan serta menetapkan hati saya untuk sentiasa berlaku adil, amanah dan ikhlas dalam memikul tanggungjawab ini,” katanya.

Onn Hafiz turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor, atas limpah perkenan Pemangku Sultan Johor, mengisytiharkan Isnin, 13 Julai 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa Negeri Johor.

Menurutnya, pengisytiharan itu dibuat sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai rakyat dalam PRN Johor Ke-16.

Beliau turut memohon doa seluruh rakyat Johor agar Allah SWT terus memimpin dan mempermudahkan urusan pentadbiran kerajaan negeri.

“Semoga setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan integriti. Semoga setiap keputusan yang dibuat sentiasa mendapat petunjuk dan keredaan-Nya,” katanya.

Kemenangan 48 kerusi itu merupakan peningkatan berbanding 40 kerusi yang dimenangi BN pada PRN Johor 2022, sekali gus mengukuhkan kedudukan gabungan berkenaan sebagai kerajaan negeri.

Onn Hafiz pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada Mac 2022 selepas memenangi kerusi DUN Machap.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat