Festival Filem Raintown 3.0 terima 152 penyertaan, meningkat hampir 48 peratus

TAIPING – Festival Filem Raintown 3.0 terus mencatat perkembangan positif apabila menerima sebanyak 152 penyertaan bagi Pertandingan Filem Pendek Raintown 2026, meningkat hampir 48 peratus berbanding 103 penyertaan pada edisi tahun lalu.

Peningkatan sebanyak 47.6 peratus itu dilihat sebagai petanda keyakinan yang semakin kukuh dalam kalangan komuniti perfileman bebas terhadap festival berkenaan sebagai platform untuk mengetengahkan karya asli, meraikan penceritaan tempatan serta membuka peluang kepada pembikin filem berinteraksi dengan pemain industri.

Daripada keseluruhan penyertaan yang diterima, sebanyak 20 karya terbaik dipilih sebagai finalis selepas melalui proses penilaian oleh panel lima juri bebas. Kesemua finalis akan bersaing dalam lapan kategori anugerah pada Festival Filem Raintown yang dijadual berlangsung di Taiping pada September ini.

Pengasas Festival Filem Raintown, Jacky Yeap berkata, festival itu kini semakin berkembang sehingga dikenali di peringkat nasional dan bukan lagi sekadar acara komuniti di Taiping.

Menurutnya, peningkatan jumlah serta kualiti penyertaan setiap tahun membuktikan festival berkenaan semakin diyakini sebagai platform berprestij untuk pembikin filem memperkenalkan hasil karya mereka.

Beliau turut menyifatkan sokongan sektor korporat sebagai faktor penting yang membantu perkembangan festival tersebut.

Katanya, sokongan berterusan daripada West Coast Expressway (WCE) sejak tahun lalu bukan sahaja memberi keyakinan kepada pihak penganjur, malah menjadi suntikan semangat kepada pembikin filem muda untuk terus menghasilkan karya berkualiti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WCE, Lyndon Alfred Felix berkata, syarikat itu komited menyokong pembangunan komuniti melalui inisiatif yang mampu memperkasa bakat tempatan serta memelihara warisan budaya.

Beliau berkata, WCE berbangga dapat menjadi rakan strategik Festival Filem Raintown yang semakin mendapat pengiktirafan sebagai platform perfileman di peringkat nasional.

Menurutnya, pihaknya berharap lebih ramai pembikin filem tempatan akan terus mengangkat kisah yang dekat dengan masyarakat Malaysia, sekali gus merakamkan warisan dan keunikan komuniti di sepanjang koridor West Coast Expressway.

Sebanyak 20 karya yang disenarai pendek mewakili pelbagai latar belakang pembikin filem, termasuk pengarah profesional, pelajar jurusan perfileman, bakat baharu serta peserta yang kembali menyertai pertandingan daripada edisi terdahulu.

Karya yang dipertandingkan merangkumi filem naratif, dokumentari, animasi dan sinema eksperimental dengan masing-masing menampilkan interpretasi tersendiri terhadap tema tahun ini, “After the Rain”.

Pertandingan Filem Pendek Raintown 2026 dianjurkan oleh WuBen Film Magazine dan Studio 1914 dengan sokongan strategik WCE. Festival itu turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Perak, Port Ipoh, Ahli Parlimen Taiping serta pelbagai rakan industri.

Festival Filem Raintown merupakan festival perfileman berteraskan komuniti yang meraikan warisan tempatan, penceritaan Malaysia dan bakat kreatif baharu. Edisi ketiga festival itu dijadual berlangsung pada September 2026 bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat