KUALA LUMPUR – Tarikh 7 Julai akan menjadi penentu nasib Datin Seri Rosmah Mansor sama ada dibebaskan atau disabitkan atas pertuduhan rasuah berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh berkenaan ketika sebutan kes dan klarifikasi di hadapan beliau sebentar tadi.

Rosmah, 70, bakal menjadi tumpuan negara kerana apa sahaja keputusan dan alasan penghakiman yang diumumkan oleh hakim berkenaan akan membawa impak yang besar terhadap beliau selaku isteri bekas Perdana Menteri.

Rosmah dibicarakan atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak) untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui Datuk Rizal Mansor melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit antara bulan Januari dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek itu,” memetik Utusan.

Kesalahan didakwa dilakukan di kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Rosmah turut didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa.Kesalahan didakwa dilakukan pada 20 Disember 2016 di kediaman rasmi di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama iaitu hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.