Final GV7: Kak Ani mahu berseronok sahaja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketika mula berdepan kecaman netizen sejak menyertai Gegar Vaganza (GV) musim ketujuh, Noraniza Idris yang menempah tempat ke pentas akhir program realiti itu, Ahad ini, mengaku sedih.

Namun, Ratu Irama Malaysia yang mesra disapa Kak Ani menjadi semakin lali.

Akuinya, kritikan negatif netizen membuatkan dirinya lebih kental menghadapi dugaan anak seni.

“Pada mulanya, saya sedih sehingga menangis membaca komen negatif netizen yang mendakwa suara saya sengau.

“Sebagai manusia biasa, tipulah kalau saya kata diri ini tidak rapuh dengan komen begitu.

“Tapi, lama-kelamaan saya rasa lawak apabila membaca komen dilayangkan kerana netizen tidak faham apa yang saya lalui dalam pertandingan ini.

“GV7 bukanlah mempertaruhkan vokal semata-mata sebaliknya menguji keupayaan kita sebagai penghibur secara keseluruhan,” katanya kepada BH Online.

Noraniza mengaku sudah boleh mengawal emosi sekarang.

“Saya boleh ketepikan kritikan yang menjatuhkan semangat. Kalau saya layan nanti, bertambah teruk.

“Jadi, sekarang, lebih baik saya hiraukan perkara negatif dan ambil yang positif sahaja,” katanya.

 

Noraniza menyemarakkan Irama Malaysia pada konsert akhir GV7, lusa. Foto IG Noraniza Idris
Noraniza menyemarakkan Irama Malaysia pada konsert akhir GV7, lusa. Foto IG Noraniza Idris

 

Penyanyi Awallah Dondang itu menegaskan, dia bukanlah individu yang tidak boleh menerima komen atau kritikan.

Namun, baginya, jika netizen mahu berkongsi pandangan, lakukanlah dengan cara berhemah.

“Hendak tegur boleh tapi biarlah dengan cara ilmiah dan beretika.

“Janganlah mengecam, mencerca dan mencarut. Sebaliknya, gunalah ayat baik-baik.

“Saya tidak menolak komen membina kerana tahu saya ada kekurangan,” katanya.

Noraniza mengaku dirinya bukan penyanyi pop yang baik.

“Disebabkan itu, sepanjang 35 tahun ini, saya banyak menyanyikan lagu Irama Malaysia kerana itu adalah genre yang sesuai dengan saya,” katanya.

Noraniza berkata, dia memilih menyertai GV7 kerana pertandingan itu boleh dijadikan platform untuk mengetengahkan genre Irama Malaysia.

“Sebelum memasuki GV7, saya banyak menjalankan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) mempromosikan Irama Malaysia.

“Jadi, mengapa tidak saya menggunakan platform GV7 untuk tujuan itu?” katanya.

Bertanya mengenai persiapan ke pentas akhir, Ahad ini, Noraniza enggan memikirkan soal kemenangan.

“Tidak saya nafikan, waktu makan, mandi dan tidur sekalipun saya sibuk menghafal lirik.

“Saya bukan muda untuk mempunyai daya ingatan macam dahulu.

“Namun, saya tidak terlalu tertekan untuk konsert akhir. Malah, saya tidak letak harapan bergelar juara.

“Saya juga tidak mahu fikir soal markah yang akan diberi juri atau pendapat netizen.

“Tidak kisahlah saya dapat nombor berapa, terserah kepada juri. Bagi saya, semua peserta hebat,” katanya.

Noraniza berkata, dia hanya mahu berseronok ketika beraksi di pentas final.

“Saya akan menjayakan konsert akhir itu sebagai konsert Irama Malaysia,” katanya.

Pada malam itu, Noraniza akan mempersembahkan lagu Empat Dara versi duet bersama Juara GV4, Aishah; lagu Hutang nyanyian asal oleh Floor 88 serta sebuah lagi ‘battle’ yang masih dirahsiakan.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat