Bob boleh tidur lena

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bob Lokman, 56, bersyukur pembedahan membetulkan degupan jantung dikenali sebagai ‘Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Isnin lalu, berjaya.

Bob atau nama sebenar, Mohd Hakim Lokman, memberitahu, dia dibenarkan keluar dari hospital berkenaan, Selasa lalu.

Namun, Bob yang sebelum ini mencipta nama sebagai pelawak, pengacara, pelakon dan penulis lirik, masih berada di Alor Setar, bagi menjalani pemeriksaan susulan.

“Alhamdulillah, pembedahan saya lancar. Namun, saya masih rasa sakit sebab baru dibedah beberapa hari.

“Kalau hendak bercakap mengenai perkembangan jantung, baru lagi untuk saya ulas.

 

Bob mengaku boleh tidur lena selepas menjalani pembedahan membetulkan degupan jantung dikenali sebagai ‘Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Isnin lalu. Foto NSTP
Bob mengaku boleh tidur lena selepas menjalani pembedahan membetulkan degupan jantung dikenali sebagai ‘Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Isnin lalu. Foto NSTP

 

“Namun, alhamdulillah, selepas pembedahan, tidur saya lebih lena,” katanya kepada BH Online.

Mengulas lanjut mengenai pembedahan itu, Bob berkata, dia menjalani prosedur CRTD iaitu kaedah memasukkan wayar dalam bahagian kiri dan kanan jantung.

Tambahnya, alat itu menyeragamkan kadar degupan jantung bagi mengembalikan ritma normal.

“Sebelum ini, saya beritahu perlu memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD).

“Namun, sebenarnya, saya perlu menjalani kaedah rawatan CRTD. Rawatan ini adalah untuk menstabilkan denyutan jantung saya.

“Disebabkan pembedahan itu, dalam beberapa bulan ini saya tidak boleh angkat tangan.

“Jadi, saya tidak boleh menyarung kemeja-T, hanya baju berbutang dibenarkan. Pergerakan pun agak terhad, seperti tidur dalam satu posisi sahaja,” katanya.

Bob berkata, doktor tidak membenarkan mengambil garam atau makanan masin.

“Saya juga dinasihatkan menurunkan berat badan. Sekarang, berat badan saya 125 kilogram (kg).

“Saya perlu turunkan kepada 85 kg untuk mendapatkan berat badan ideal,” katanya.

Pelakon filem Santau dan Jin Notti itu memilih untuk menjalani pembedahan di Kedah selepas pengurusan Hospital Sultanah Bahiyah menawarkan rawatan segera kepadanya.

Bob mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menghulurkan sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia bagi membiayai kos pembedahan yang dianggarkan RM60,000 itu.

“Saya tidak sangka masalah saya mendapat perhatian banyak pihak.

“Terima kasih kepada orang ramai dan Muslim Care Malaysia kerana merealisasikan semua ini.

“Sebelum ini, saya banyak membantu Muslim Care Malaysia menjalankan aktiviti kebajikan. Tidak sangka, kali ini, mereka tolong saya pula,” katanya.

Sehubungan itu, Bob bersama Muslim Care Malaysia dan Unit Jantung Hospital Sultanah Bahiyah akan menubuhkan tabung untuk pesakit jantung yang memerlukan.

Bob turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Hospital Sultanah Bahiyah terutama Dr Khanta Rao yang bertanggungjawab mengendalikan pembedahannya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat