KUALA LUMPUR – Penyatuan parti dan usaha berterusan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat menjadi antara fokus utama UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi perkembangan politik akan datang.
Bendahari Pemuda UMNO Sabah yang juga Exco Pemuda BN, Datuk Seri Dr Anil Sandhu berkata, mesej yang disampaikan kepimpinan parti kini cukup jelas mengenai perkara yang mahu dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada Suara TV selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
“Alhamdulillah, pagi ini kita telah lihat ucapan Datuk Seri Presiden, cukup jelas dan cukup mantap dan mesej yang terang-terang sudah kita dah beritahu apa yang kita nak laksanakan dan apa yang kita boleh laksanakan.
“Dan menjelang akan datang, insya-Allah PRU 16 yang akan datang, kita akan buat yang terbaik untuk kepentingan rakyat, masyarakat dan juga keluarga Malaysia yang besar, yang merangkumi negeri-negeri yang berdekatan seluruhnya dalam Malaysia,” katanya.
Anil berkata, pendekatan yang dibawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memperlihatkan sifat tenang dan tidak gopoh dalam merancang hala tuju parti.
“Presiden Datuk Seri Zahid ni hatinya besar dan orangnya tenang. Jadi kita boleh lihat beliau, apa pun perancangan beliau, dia tidak gopoh apa-apa,” katanya.
Menurut beliau, usaha penyatuan yang sedang dibawa bukan hanya melibatkan ahli dan bekas ahli UMNO, malah turut merangkumi kerjasama antara parti, khususnya parti Islam, Bumiputera serta pihak yang berkongsi matlamat untuk menjayakan Malaysia.
“Dan penyatuan ini adalah cukup jelas, bukan sahaja kepada ahli parti, bukan sahaja kepada orang yang bekas ahli parti, bukan juga kepada individu yang tertentu yang sudah keluar parti, tetapi penyatuan ini adalah antara parti-parti, terutama parti-parti Islam, parti-parti Bumiputera dan juga parti-parti yang boleh mendukung matlamat kita untuk menjayakan Malaysia dan juga negeri-negeri yang ada di Malaysia ni,” katanya.
Mengulas perkembangan politik di Johor dan Negeri Sembilan, Anil berkata, sokongan awam yang diterima dilihat positif, namun parti tidak boleh terlalu selesa atau yakin dengan kedudukan semasa.
“Saya melihat PRN Johor dengan Negeri Sembilan ni, respons and public punya support is quite strong. Tetapi kita jangan terlalu berbangga dan terlalu ego kerana dalam politik ini, macam-macam boleh berlaku,” katanya.
Beliau berkata, keyakinan perlu disertai sikap berhati-hati dan tumpuan kepada matlamat untuk berkhidmat kepada rakyat, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Jangan terlalu confident, tetapi yakin dan percaya kalau naluri kita, matlamat kita, nawaitu, kita mahu untuk rakyat dan juga untuk Malaysia, insya-Allah, kita akan mencapai juga kemenangan di PRN Melaka nanti,” katanya.
Anil menyifatkan PRN Melaka sebagai platform penting untuk meneruskan momentum politik yang ada sebelum berdepan perkembangan seterusnya, termasuk PRU16 atau pilihan raya negeri di negeri-negeri lain.
“Dan saya melihat PRN Melaka ni adalah satu platform yang mana momentum akan diteruskan dan insya-Allah, dalam menjelang mungkin akan datang lagi lepas Melaka tu, mungkin PRU 16 ataupun PRN di negeri mana kita tak tahu, tetapi kita akan sentiasa bersama-sama dengan public lah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Sabah, Anil yang juga salah seorang anggota Kabinet Negeri Sabah berkata, kerjasama antara GRS-BN serta parti-parti lain dalam gabungan kerajaan negeri memberikan mesej yang jelas bahawa kepentingan rakyat menjadi keutamaan.
“Alhamdulillah, kita bersama Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam kepimpinannya. Saya juga dalam salah satu jemaah kabinet, selaku pembantu menteri dalam Kabinet Negeri Sabah.
“Kolaborasi kerjasama antara Kerajaan Perpaduan di negeri Sabah ni, cukup jelas dan motif yang jelas. Kita mahu berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Beliau turut berharap beberapa perkara yang telah dijanjikan kepada Sabah dapat direalisasikan, termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah.
“Kerana semalam pun saya lihat PMX ada di Sabah, dan tadi pun beliau tadi pagi di SACC. Kita hopefully MA63 ni harus dilaksanakan.
“Dan akhir sekali, kerusi-kerusi tambahan untuk Parlimen Sabah ni harus dibuat. Jangan ditunda-tunda lagi kerana kawasan kami ni besar dan itu perlu dibuat,” katanya.



