KUALA LUMPUR — Prestasi positif yang ditunjukkan kontinjen Sabah pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor membuahkan hasil apabila berjaya mengutip 69 pingat emas, mengatasi sasaran awal sebanyak 66 emas.
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Seri Dr Anil Sandhu, berkata pencapaian tersebut amat membanggakan kerana kontinjen Sabah bukan sahaja berjaya mencapai sasaran ditetapkan, malah melangkauinya dengan tiga pingat emas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara TV pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini hari ini.
“Alhamdulillah, pada awalnya kita menetapkan sasaran sebanyak 66 pingat emas untuk kontinjen Sabah, tetapi akhirnya kita berjaya mendapatkan 69 pingat emas.
“Ini bermaksud kita berjaya mencapai lebih daripada sasaran yang telah ditetapkan. Jadi, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua atlet yang telah berjuang dan memberikan yang terbaik untuk membawa nama Sabah.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pengurusan tertinggi Majlis Sukan Negeri (MSN), Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), Datuk Menteri serta Setiausaha Tetap yang sentiasa memberikan sokongan kepada para atlet dan kontinjen kita,” katanya.
Anil berkata, pihaknya amat bersyukur dan berbangga melihat pencapaian yang berjaya direalisasikan oleh atlet Sabah pada temasya berkenaan.
“Saya selaku pembantu menteri, kita sangat berterima kasih, sangat bersyukur dan amat gembira melihat keputusan yang telah dicapai oleh kontinjen Sabah.
“Pencapaian ini menunjukkan usaha dan kerja keras atlet serta semua pihak yang terlibat telah membuahkan hasil. Kita juga tidak boleh berhenti di sini kerana masih banyak yang perlu kita lakukan untuk meningkatkan lagi prestasi atlet Sabah,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan kontinjen Sabah turut dilengkapkan dengan pencapaian membanggakan apabila dua rekod berjaya dipecahkan pada Para SUKMA kali ini.
“Kita juga telah memecahkan dua rekod dari Sabah. Ini merupakan satu pencapaian yang sangat cantik untuk Para SUKMA kali ini dan sudah tentu ia menjadi satu kebanggaan kepada kita semua.
“Kita berharap kejayaan ini akan menjadi motivasi kepada atlet-atlet kita untuk terus berusaha dan meningkatkan pencapaian pada temasya akan datang,” katanya.
Mengulas persiapan menghadapi Para SUKMA akan datang di Kelantan dalam tempoh dua tahun lagi, Anil berkata Sabah perlu menetapkan sasaran baharu yang lebih tinggi berdasarkan pencapaian kali ini.
“Insya-Allah, di Kelantan dua tahun lagi kita akan mencapai satu sasaran yang baharu. Kita akan melihat apa yang boleh kita tingkatkan dan kita akan buat yang terbaik untuk Para SUKMA yang akan datang.
“Kita mahu memastikan momentum ini diteruskan dan atlet-atlet Sabah terus memberikan prestasi terbaik serta mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan,” katanya.



