KUALA LUMPUR – Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah membunyikan penggera bahawa telah tiba masanya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu segera diadakan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, Gelombang Biru bukan hanya untuk menjadikan Umno sebagai pelengkap kerajaan.
“PRU-16 adalah detik penentuan bagi kita mendapatkan semula mandat menerajui kepimpinan.
“Justeru, telah tiba masanya PRU16 perlu segera diadakan. Setuju?
“Alang-alang menyeluk pekasam. Biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang kita dah berlawan… Kita lawan… lawan sampai…! (menang),” katanya dalam ucapan dasar Presiden Umno sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 pada Jumaat.
Tambah Zahid, walaupun DNA Umno ialah DNA memimpin. Namun, kemenangan itu tidak datang bergolek. Ia dilengkapi dengan strategi dan percaturan yang memahami realiti di lapangan.
“Selama 80 tahun kita memimpin, kita tidak memencilkan masyarakat lain. Kita pertahankan asas kenegaraan.
“Kita perjuangkan Melayu, kita jugalah yang menyatukan kemajmukan melalui Perikatan dan Barisan Nasional (BN).
“Justeru, di sinilah kita perlu mengingati kembali watak sebenar Umno. Kita tidak hanya berfikir dari satu penggal ke satu penggal pilihan raya yang lain.
“Hakikatnya Umno adalah parti yang sentiasa merancang pembangunan negara melangkaui usia satu generasi,” kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi.
Jelas Zahid, Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai contoh, tidak dirangka untuk mendapatkan tepukan semusim.
“Begitu juga Transformasi Nasional 2050 atau TN50 pula digagaskan untuk menyantuni pemikiran dan hasrat gen-Z sehingga generasi Alpha.
“Begitulah cara parti pemerintah berfikir. Bukan sekadar bertanya siapa akan menang pilihan raya berikutnya, tetapi corak negara yang bagaimana mahu kita wariskan kepada generasi seterusnya.
“Kita juga bukan parti yang menjanjikan menang hari ini, segala masalah akan selesai keesokan harinya,” bidas beliau.
Zahid juga menyatakan dalam tempoh 8 tahun ini juga, kita menyaksikan negara terperangkap dalam permanent political warfare – peperangan
politik yang tidak berkesudahan walaupun pilihan raya telah lama selesai.
“Rakyat semakin penat mendengar: Siapa yang mahu dijatuhkan? Siapa yang mahu disiasat dan siapa lagi yang mahu dipersalahkan?
“Hakikatnya… Rakyat hanya nak tahu: Siapakah yang mampu beri penyelesaian,” tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Menurut Zahid, politik hari ini jauh lebih rencam.
Ujarnya, politik Melayu tidak lagi berpusat pada satu wadah. Kesetiaan pengundi tidak lagi diwarisi.
“Putih dahulu, tidak semestinya putih selamanya. Generasi baharu pula tidak terikat dengan nostalgia politik yang lama.
“Sebab itu, kita tidak boleh guna satu formula untuk semua medan. Demografi berbeza. Isu berbeza. Calon berbeza. Sentimen juga berbeza.
Begitulah keadaannya hari ini.
“Di Sabah ia memberikan kita pengajaran.Di Johor ia membangkitkan keyakinan. Negeri Sembilan pula menunjukkan bahawa persefahaman boleh menjadi kekuatan.
“Manakala Melaka Insya-Allah akan menjadi medan seterusnya yang menguji sejauh mana Gelombang Biru benar-benar dapat diterjemahkan,” katanya.



