RM193.5 juta nilai pelaburan TH dalam Putrajaya Perdana, bukan masuk poket Azeez Rahim – Peguam

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim menepis dakwaan seolah-olah RM193.5 juta yang disebut dalam pertuduhan terhadap bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) itu merupakan wang yang diterima atau diselewengkannya.

Sebaliknya, pasukan pembelaan menegaskan jumlah tersebut ialah nilai pelaburan TH dalam Putrajaya Perdana Berhad.

Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, jumlah berkenaan bukan wang yang didakwa diberikan kepada, diambil oleh atau dimasukkan ke dalam akaun peribadi Abdul Azeez mahupun ahli keluarganya.

Menurut beliau, Abdul Azeez juga tidak didakwa mengambil, menggelapkan atau menyalahgunakan dana TH berjumlah RM193.5 juta untuk kegunaan dirinya atau keluarganya.

“Pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen (Jenayah) 9 pada 8 September lalu berkaitan dakwaan bahawa anak guam kami menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH untuk mendapatkan jawatan sebagai Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad.

“Jawatan itu didakwa membawa manfaat berupa remunerasi tahunan, sebuah kenderaan serta seorang pemandu tetap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amer Hamzah menegaskan, pertuduhan tersebut tidak mengaitkan Abdul Azeez dengan sebarang penyelewengan atau penyalahgunaan dana TH untuk manfaat dirinya ataupun ahli keluarganya.

Abdul Azeez mengaku tidak bersalah dan memilih untuk dibicarakan atas pertuduhan tersebut.

Mengulas dakwaan mengenai jumlah simpanan dalam akaun TH milik isteri dan anak-anak Abdul Azeez, Amer Hamzah berkata, simpanan berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan pertuduhan yang sedang dihadapi anak guamnya.

Katanya, kewujudan simpanan dalam akaun TH tidak bermaksud wang berkenaan berasal daripada dana milik institusi tersebut.

“Akaun dan wang simpanan di dalamnya telah menjadi subjek siasatan pihak berkuasa sebelum ini. Bagaimanapun, wang tersebut tidak pernah dilucuthakkan oleh kerajaan.

“Tidak terdapat sebarang dapatan bahawa wang itu merupakan dana TH yang diselewengkan oleh anak guam kami atau hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung TH yang telah didedahkan juga tidak membuat dapatan bahawa Abdul Azeez menyeleweng atau mengambil wang TH untuk dirinya atau ahli keluarganya.

Sehubungan itu, Amer Hamzah menyifatkan sebarang gambaran bahawa simpanan dalam akaun TH ahli keluarga Abdul Azeez merupakan wang yang diambil daripada TH sebagai tidak tepat.

Menurutnya, dakwaan bahawa RM193.5 juta itu disalurkan kepada Abdul Azeez atau keluarganya juga tidak mencerminkan kandungan sebenar pertuduhan serta hasil siasatan terdahulu.

Pasukan pembelaan turut menyeru semua pihak supaya melaporkan kes berkenaan berdasarkan fakta dan kandungan sebenar pertuduhan serta menghormati prinsip seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

Amer Hamzah berkata, Abdul Azeez dan ahli keluarganya merizabkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan palsu, mengelirukan atau berunsur fitnah berhubung perkara tersebut. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat