Sasar sejuta tontonan palsu sokong PM, Anthropic bongkar operasi manipulasi politik Malaysia

KUALA LUMPUR – Sebuah rangkaian manipulasi politik yang mengendalikan lebih 1,000 akaun palsu di X didakwa pernah membuat permintaan untuk menjana sejuta tontonan buatan bagi menyokong akaun Perdana Menteri Malaysia.

Pendedahan itu dibuat oleh syarikat kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat, Anthropic, dalam laporan rasmi terbaharunya bertajuk Detecting and Countering Misuse of AI: September 2026.

Semakan Suara.TV mendapati tangkap layar yang tular adalah benar dan kandungannya sepadan dengan bahagian GTG-84005 dalam laporan rasmi Anthropic bertajuk “Disrupting a commercial election-manipulation platform targeting Malaysia”.

Anthropic ialah syarikat yang membangunkan Claude, model AI generatif dan chatbot yang menjadi pesaing kepada ChatGPT.

Menurut laporan itu, Anthropic mengenal pasti dan menutup sebuah akaun yang menggunakan Claude untuk mengendalikan platform manipulasi pilihan raya komersial dengan sasaran utamanya ialah pengguna di Malaysia.

Rangkaian tersebut didakwa merangkumi kira-kira 1,000 akaun palsu di X, sebuah portal berita rekaan dikenali sebagai Malaysia Pulse serta beberapa dossier mengandungi maklumat palsu.

“Platform itu menguruskan lebih 1,000 akaun palsu X/Twitter. Papan pemuka tersebut mempunyai parameter yang membolehkan pengguna menetapkan jumlah keseluruhan tontonan buatan bagi setiap sasaran.

“Kami mengesan satu permintaan bagi menyokong Perdana Menteri Malaysia yang sedang memegang jawatan untuk mendapatkan sejuta tontonan buatan pada akaunnya,” menurut laporan itu.

Bagaimanapun, laporan tersebut tidak menamakan Perdana Menteri terbabit atau pihak yang membuat permintaan berkenaan.

Anthropic juga tidak menyatakan bahawa sejuta tontonan itu benar-benar berjaya dijana. Syarikat berkenaan menjelaskan angka suka dan tontonan yang direkodkan dalam papan pemuka terbabit dilaporkan sendiri oleh sistem pengendalinya dan tidak dapat disahkan secara bebas.

Menurut Anthropic, siasatannya menemukan kaitan jelas antara operasi tersebut dengan BBS Bilisim Teknolojileri, sebuah syarikat teknologi berpangkalan di Istanbul, Türkiye.

Syarikat berkenaan didakwa menjual akses kepada platform itu sebagai perkhidmatan manipulasi pengaruh berbayar dan memasarkannya sebagai “ekosistem operasi politik masa nyata dipacu AI bertaraf ketenteraan”.

Claude didakwa digunakan untuk membina sistem penyasaran pengundi mengikut kawasan, mengurus rangkaian akaun palsu, mengelakkan pengesanan platform media sosial, menulis semula berita dan menghasilkan dossier palsu.

Operasi itu didakwa menggunakan data banci, data pilihan raya dan jutaan rekod pengundi untuk membina profil pengundi berdasarkan isu sensitif melibatkan kaum, agama dan institusi diraja di kesemua 222 kawasan Parlimen.

Rangkaian tersebut turut didakwa menghasilkan tuduhan palsu terhadap seorang ahli politik pembangkang dan beberapa organisasi masyarakat sivil.

Menurut Anthropic, penyelidikan yang dilakukan oleh model AI syarikat itu tidak menemukan bukti yang menyokong tuduhan berkenaan.

Apabila Claude enggan melaksanakan arahan tertentu selepas mengenal pasti salah satu dokumen sebagai bahan berunsur fitnah politik, pengendali berkenaan didakwa mengubah dan melembutkan perkataan yang digunakan bagi meneruskan pembangunan sistem tersebut.

Portal Malaysia Pulse pula didakwa mengambil laporan sah media Malaysia sebelum menulisnya semula beberapa kali menggunakan AI dan menerbitkannya di bawah nama wartawan rekaan.

Portal berkenaan juga didakwa menerbitkan semula kandungan media yang mempunyai hubungan dengan kerajaan Rusia dan China, termasuk TV BRICS, Xinhua, Sputnik/RIA dan CGTN.

Identiti sumber asal kemudian dibuang bagi memberikan gambaran bahawa kandungan tersebut merupakan laporan bebas dari Malaysia.

Laporan itu turut menyatakan bahawa pihak di sebalik operasi tersebut pernah berusaha mendapatkan kontrak dengan “pengawal selia komunikasi kebangsaan Malaysia”.

Bagaimanapun, Anthropic secara tegas menyatakan bahawa pihaknya tidak menemukan sebarang bukti bahawa usaha mendapatkan kontrak itu berjaya.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, perkara yang dinyatakan dalam laporan Anthropic bukan sebahagian daripada fungsi atau mandatnya.

“MCMC juga tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan sebagaimana yang digambarkan dalam laporan tersebut,” katanya.

MCMC kini meneliti laporan itu dan akan mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut daripada pihak berkaitan bagi memastikan fakta sebenar dan memahami konteks isu yang dibangkitkan.

Menurut suruhanjaya itu, tindakan susulan yang bersesuaian akan ditentukan berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh, termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan.

Anthropic menilai kempen berkenaan pada Kategori Dua dalam Breakout Scale, iaitu aset rangkaian tersebut tersebar merentasi beberapa platform tetapi belum ada bukti ia berjaya menembusi komuniti sebenar secara organik.

Syarikat itu berkata, akaun berkaitan telah disekat selepas dikesan menerusi sistem dalaman dan petunjuk yang diperoleh digunakan untuk memetakan keseluruhan operasi serta menghalang penyalahgunaan seterusnya.

[Laporan rasmi Anthropic](https://www.anthropic.com/threat-intelligence-report-september-2026) mengesahkan kandungan utama dalam tangkap layar yang dikongsi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat