CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti laporan terbaharu syarikat kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat, Anthropic, berhubung sebuah platform manipulasi politik yang didakwa menyasarkan pengguna di Malaysia.
MCMC berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut daripada pihak berkaitan bagi memastikan fakta sebenar serta memahami konteks isu tersebut.
“Tindakan susulan yang bersesuaian akan ditentukan berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh, termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut MCMC, usaha melindungi orang ramai dan menangani kemudaratan dalam talian kekal menjadi teras tanggungjawab suruhanjaya itu.
“MCMC akan terus memelihara dan memastikan persekitaran dalam talian yang selamat dan dipercayai untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Anthropic ialah syarikat teknologi AI berpangkalan di Amerika Syarikat yang membangunkan Claude, sebuah model AI generatif dan chatbot yang menjadi pesaing kepada ChatGPT.
Dalam laporan bertajuk Detecting and Countering Misuse of AI: September 2026, Anthropic mendakwa pihaknya mengesan dan menyekat sebuah operasi manipulasi pilihan raya komersial yang menyasarkan pengguna di Malaysia.
Menurut laporan itu, operasi berkenaan mempunyai kaitan dengan BBS Bilisim Teknolojileri, sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Istanbul, Türkiye.
Platform tersebut didakwa mengendalikan kira-kira 1,000 akaun palsu di X, sebuah portal berita rekaan dikenali sebagai Malaysia Pulse serta beberapa dokumen risikan palsu.
Anthropic mendakwa Claude digunakan untuk membangunkan sistem penyasaran pengundi mengikut kawasan Parlimen, mengurus rangkaian akaun palsu, mengelakkan pengesanan platform media sosial dan menulis semula kandungan untuk portal berita berkenaan.
Operasi itu didakwa menggunakan data banci, pilihan raya dan jutaan rekod pengundi untuk menyasarkan isu sensitif melibatkan kaum, agama dan institusi diraja di kesemua 222 kawasan Parlimen.
Dalam satu contoh, pengendali platform berkenaan didakwa menetapkan sasaran sehingga satu juta tontonan buatan bagi menyokong akaun seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, Anthropic menjelaskan bahawa angka tersebut direkodkan oleh sistem milik pengendali platform dan tidak dapat disahkan secara bebas.
Laporan itu turut menyatakan bahawa pihak di sebalik operasi berkenaan pernah berusaha mendapatkan kontrak dengan badan pengawal selia komunikasi negara.
Namun, Anthropic menegaskan bahawa pihaknya tidak menemukan sebarang bukti bahawa usaha mendapatkan kontrak tersebut berjaya.



