KUALA LUMPUR – Amalan melantik tokoh politik atau individu yang mempunyai kepentingan politik aktif ke dalam Lembaga Pengarah mahupun jawatan pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH) hendaklah dihentikan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh).
Menurut Presiden Bersatu itu, hal ini bagi mengelakkan campur tangan politik dalam keputusan pelaburan dan pengurusan dana pendeposit.
Muhyiddin mencadangkan, pelantikan Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi Tabung Haji termasuk anak-anak syarikat Tabung Haji hendaklah berasaskan merit, integriti, kelayakan profesional, serta pengalaman luas dalam bidang kewangan, perbankan, pelaburan, undang-undang, dan syariah.
Beliau beranggapan, adalah sangat malang apabila kerugian Tabung Haji telah ditutup melalui creative accounting dan kerajaan pada masa itu bertegas bahawa Tabung Haji mencatatkan keuntungan walaupun sebenarnya seperti yang ditunjukkan dalam laporan RCI, Tabung Haji rugi berbillion ringgit.
Malah katanya, Ketua Audit Negara ditegur kerana memberikan sijil audit bersih kepada Tabung Haji.
“Ini menimbulkan suatu persoalan tatakelola yang rumit. Bagaimana kecuaian atau lebih tepat penipuan laporan kewangan Tabung Haji boleh dibiarkan berlaku?
“Hal ini mesti dielakkan pada masa hadapan demi menjamin ketelusan pengurusan dana awam di negara ini. Pihak-pihak yang terlibat mesti diambil tindakan tegas sebagai pengajaran supaya tragedi yang menimpa Tabung Haji tidak berulang di masa hadapan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Muhyiddin menambah, memandangkan terdapat kelemahan tadbir urus dan ketirisan yang amat kompleks dalam pengurusan dana Tabung Haji, audit forensik secara menyeluruh dan berterusan mesti dilaksanakan dengan segera dan disiapkan dalam tempoh setahun.
“Audit forensik bebas amat penting untuk menjejaki aliran dana, mengenalpasti unsur penipuan dan salah guna kuasa serta kecuaian yang mungkin telah berlaku.
“Sesiapa sahaja yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dana Tabung Haji samada melalui penipuan, salah guna kuasa atau kecuaian mesti dibawa ke muka pengadilan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu mengingatkan, laporan RCI ini tidak akan membawa sebarang makna sekiranya syor-syor RCI tidak dilaksanakan.
“Justeru, kerajaan mesti komited untuk melaksanakan setiap syor dan cadangan yang dikemukakan oleh RCI secara tegas dan berterusan. Ini termasuklah menambahbaik kerangka perundangan Akta Tabung Haji 1995, melakukan pemantauan dan seliaan yang lebih ketat oleh Bank Negara Malaysia atau badan kawal selia yang berkaitan, membentuk jawatankuasa pelaburan yang bebas dan berintegriti, serta menstruktur semula portfolio pelaburan agar sentiasa berhati-hati dan patuh syariah.
“Ujian fit and proper person hendaklah dilaksanakan dengan menggunakan kriteria penapisan yang ketat mengikut piawaian kawal selia seperti yang terkandung dalam garis panduan Bank Negara Malaysia sebelum mana-mana individu dilantik.
“Syarat ini adalah penting untuk memastikan individu yang dilantik bebas daripada sebarang konflik kepentingan, isu integriti, atau tekanan politik luar,” katanya.
Selain itu beliau juga mengingatkan, Jawatankuasa Pelaburan Tabung Haji juga hendaklah bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana arahan luar yang boleh meragut kepentingan kewangan pendeposit.
“Keyakinan rakyat terhadap Tabung Haji mesti dipulihkan sepenuhnya.
“Kita mempunyai tanggungjawab moral dan amanah besar untuk memastikan kesilapan lalu tidak berulang lagi. Laksanakan syor RCI, ambil tindakan berdasarkan dapatan audit forensik, dan tegakkan tadbir urus yang berintegriti demi masa depan Tabung Haji dan umat Islam di Malaysia,” kata Muhyiddin.



