Tiada kerjasama boleh dijalin ketika ini babitkan DAP-Pas – Ram Karpal tuntut penjelasan Amirudin

KUALA LUMPUR – Tiada kerjasama boleh terjalin antara DAP dan Pas pada masa ini, tegas Timbalan Setiausaha Agung DAP Ramkarpal Singh.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP menuntut penjelasan terperinci daripada Ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Amirudin Shari yang menyatakan PH sentiasa terbuka dalam menjalinkan kerjasama atau sebarang persefahaman dengan parti atau gabungan politik termasuk Perikatan Nasional (PN) atau Bersatu.

“Ahli Majlis Presiden PH dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, mesti menjelaskan kenyataan beliau bahawa Pakatan Harapan terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, termasuk Bersatu atau Perikatan Nasional (PN), terutamanya sama ada perkara itu telah dibangkitkan dan diselesaikan di peringkat Majlis Presiden PH.

“Perkara ini adalah sesuatu yang serius kerana ia berkaitan dengan hala tuju dan masa depan PH serta bakal rakan gabungannya dalam sebarang koalisi akan datang.

“Perkara ini sudah tentu perlu dibincangkan secara mendalam oleh parti-parti komponen sebelum sebarang pengumuman dibuat.

“Saya tidak tahu mengenai sebarang pendirian sedemikian dan boleh mengesahkan bahawa perkara ini tidak pernah dibangkitkan di mana-mana peringkat dalam DAP sehingga hari ini,” ujar Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu dalam kenyataan media pada Selasa.

Pun begitu, Ramkarpal berkata, tidak dinafikan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat merupakan pertimbangan utama yang perlu diambil kira seperti yang dinyatakan oleh Amirudin.

Namun katanya, apa yang sama pentingnya ialah sama ada rakan-rakan gabungan ini mampu bekerjasama demi kebaikan bersama dan kemajuan negara.

“Dakwaan tidak berasas oleh Pas terhadap DAP bahawa DAP kononnya anti-Islam hanyalah satu contoh, pada pandangan saya, yang menunjukkan bahawa tiada kerjasama boleh terjalin antara kedua-dua parti pada masa ini.

“Dalam keadaan sedemikian, perkara ini mesti dijelaskan dengan serta-merta bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul berikutan kenyataan tersebut,” kata Ramkarpal lagi.

Amirudin sebelum itu dilaporkan berkata, PH menekankan prinsip kestabilan politik dan kepentingan rakyat dalam menjalin sebarang bentuk kerjasama politik dengan mana-mana parti atau gabungan.

Ujar Menteri Besar Selangor itu lagi, pihaknya sentiasa terbuka dalam menjalinkan kerjasama atau sebarang persefahaman dengan parti atau gabungan yang menerima pakai dua prinsip berkenaan.

“Kerjasama dengan mana-mana pihak bukan sahaja dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pun boleh difikirkan kalau akhirnya prinsip untuk kestabilan politik dan kebaikan rakyat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat