KUDAT, – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh sistem keterhubungan digital luar bandar, khususnya di Sabah, demi memastikan tiada komuniti terpinggir daripada arus pendigitalan negara.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pulau Banggi, semalam, bagi memantau perkembangan pusat itu, berinteraksi bersama komuniti setempat termasuk ahli Komuniti MADANI, dan meninjau status liputan telekomunikasi di daerah Kudat.
Sebagai sebuah pusat komuniti digital sehenti di bawah inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), NADI Pulau Banggi menyediakan capaian Internet, latihan kemahiran digital, dan akses maklumat kepada penduduk setempat, khususnya di kawasan pedalaman.
Menurut Fahmi, teknologi Starlink yang digunakan di NADI Pulau Banggi membolehkan capaian Internet berkelajuan tinggi dengan kelajuan minimum melebihi 100Mbps. Pusat itu juga dilengkapi ruang latihan serta perkhidmatan rujukan maklumat bagi menyokong pembangunan ekonomi, pendidikan, dan keusahawanan digital.
“Peningkatan liputan telekomunikasi di Pulau Banggi menunjukkan perkembangan positif. Usaha ini bukan sahaja menghubungkan rakyat dengan dunia digital, malah memacu pembangunan sosioekonomi dan memperkukuh agenda pendigitalan negara,” katanya.
Inisiatif NADI Pulau Banggi, sebagai sebahagian daripada Projek Inklusif Digital NADI Malaysia, turut meraih pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai juara World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 bagi kategori Capacity Building. Anugerah itu dianjurkan oleh International Telecommunication Union (ITU) bersama agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pengiktirafan tersebut, jelas Fahmi, membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar terus dirapatkan, seiring visi Malaysia sebagai negara digital inklusif.



