Rasuah VLN Zahid: Pendakwaan tutup kes, hujahan 1 September

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) pada Khamis menutup kes mereka selepas memanggil 18 saksi.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan, memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Yazid Mustafa bahawa pendakwaan menutup kesnya selepas saksi ke-18, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) V. Mahendran, 38, selesai memberi keterangan.

Mohd Yazid memerintahkan pihak pembelaan untuk memfailkan hujahan bertulis pada 29 Ogos ini dan pihak pendakwaan pada 5 September.

Beliau juga menetapkan 1, 2, 5 hingga 8 September untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum mahkamah memutuskan sama ada membebaskan Ahmad Zahid, daripada 40 pertuduhan itu atau memerintahkannya membela diri.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada barisan pembelaan dan pendakwaan, di atas kerjasama pihak-pihak di dalam kes ini,” katanya lapor Bernama.

Raja Rozela memaklumkan pihak pendakwaan telah menawarkan 27 saksi kepada pihak pembelaan termasuk bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kawalan dan Penguatkuasaan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Wahab Mohd Yasin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan II) Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Raja Muhammad Azhan Shah Raja Muhammad serta pegawai SPRM S. Vijaya Kumar (pengadu di dalam kes).

Terdahulu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal, peguam itu mempersoal tindakan saksi pendakwaan ke-18 yang tidak merekod keterangan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sedangkan nama Menteri Kanan Pertahanan itu terdapat di dalam borang aduan SPRM.

Mahendran berkata, beliau tidak merakam percakapan Hishammuddin kerana tiada keterangan saksi-saksi dan maklumat daripada lejar UKSB mengenai pembayaran kepada ahli politik itu.

Ahmad Zaidi: Berkenaan siasatan, semalam Encik Mahendran memberitahu mahkamah siasatan memfokuskan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid sahaja?

Mahendran: Tidak setuju, fokus kepada kontrak VLN dan OSC (Pusat Sehenti) yang melibatkan pegawai-pegawai serta menteri-menteri KDN.

Saksi itu juga berkata, menteri-menteri KDN yang dimaksudkannya adalah Hishammuddin dan Zahid.

Selain itu, beliau juga menolak cadangan peguam itu bahawa Zahid hanya menerima RM100,000 sebanyak dua kali daripada UKSB.

Selain itu, Mahendran juga tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa keterangan yang diberikan saksi-saksi utama kes tersebut iaitu bekas Pengurus Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun dan dua bekas Pengarah UKSB Harry Lee Vui Khiun serta Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani tidak boleh dipercayai.

Dalam perbicaraan yang bermula pada 24 Mei 2021 itu, pendakwaan turut diwakili Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B. Thavani manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Ahmad Zaidi dan Hamidi Mohd Noh.

Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,498FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat