Bina kapal perang bukan seperti pasang lego, Chin Tong tak puas hati kenyataan Nazim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong terkejut dengan jawapan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman berkenaan perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Chin Tong malah membidas bahawa pembinaan kapal perang bukan seperti membuat kapal Lego.

Beliau mengulas kenyataan Nazim yang mengatakan, “saya boleh sahkan pembinaan fizikal kapal memang sedang berlangsung. Kalau naik bot ke Pangkor pun boleh nampak ‘hull’ kapal-kapal ini yang sebahagian besarnya sudah dibina.”

“Aspek yang paling penting untuk sebuah kapal adalah reka bentuk. Apa gunanya ada rangka atau badan kapal yang besar tanpa pendawaian, senjata dan peralatan?

“Malangnya, detailed design LCS yang patut disiapkan pada November 2016 tetap kekal di tahap lebih kurang 80 peratus pada tahun 2022,” kata Chin Tong dalam kenyataan di Facebooknya semalam.

Timbalan Setiausaha Agung DAP itu menegaskan, kapal sebesar LCS mempunyai sistem pendawaian dan paip yang panjang sekurang-kurangnya 300 kilometer.

“Di mana paip dipasang dan di mana pendawaian disambung, dan banyak lagi butiran yang perlu ditentukan dan dibina. Pembinaan kapal perang bukan sahaja ‘hull’ yang boleh dinampak dari laut berhampiran Pulau Pangkor.

“Nazim juga berkata, “RM 6 bilion dari nilai kontrak 9 bilion sudah dibayar. Kenapa bayar sampai RM6 bilion, tapi progress pembinaan untuk lima kapal pertama hanya pada purata 55 peratus? Sebab RM6 bilion dibelanjakan untuk beli hampir kesemua peralatan yang perlu untuk bina enam kapal. Bulk order lebih murah berbanding beli satu-satu.” Teori pembelian pukal ini satu lagi penipuan,” kata Chin Tong.

Menurut beliau, dalam prosiding pada 1 Disember 2020, Tan Sri Ambrin Buang telah memaklumkan Jawatankuasa Kira-kira Raya (PAC) bahawa:
“…what is glaring is pada keadaan biasa, sepatutnya kita sudah finalized the design before you sign the contract. You cannot sign the contract when you do not know what is the design. Itu menjadi masalah sehinggakan berpusing-pusing isu ini.” (Laporan PAC, mukasurat 15)

“Kenapa beli peralatan sebelum reka bentuk dimuktamadkan? Ini bukan main Lego, boleh pasang dan buka suka hati.

“Lebih-lebih lagi, 15 peratus daripada peralatan yang dibeli secara pukal ini telah lapuk dan obsolete.

“Ini adalah pembaziran yang terlampau besar kerana pembelian peralatan dibuat sebelum reka bentuk dipersetujui oleh design authority iaitu Naval Group,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, sekiranya reka bentuk diubah suai atau ditukar oleh design authority dalam proses pengesahan, maka peralatan dan wang yang diguna untuk membeli peralatan memang dibazirkan.

Dalam pada itu, Chin Tong juga mengulas kenyataan Nazim berkenaan “selepas kegagalan projek penswastaan pembinaan kapal-kapal Navy yang diberi kepada Syarikat PSC satu ketika dulu, Boustead terpaksa mengambil alih syarikat ini demi menyelamatkan kerugian di seluruh rantaian kewangan dan ekonomi.

“Pengambilan ini termasuk hutang bank yang amat besar yang kini terpaksa ditanggung oleh Boustead Holdings dan Boustead Naval Shipyard. Maka sebahagian dari wang LCS terpaksa digunakan untuk bayar hutang lapuk Syarikat PSC ini. Maklumat ada dalam laporan PAC”

Kata Chin Tong, kenyataan Nazim ini yang paling memeranjatkan, dan ia membuktikan bahawa beliau tidak layak untuk menjadi Ketua Eksekutif LTAT.

“Macam mana beliau boleh setuju bahawa penggunaan dana LCS yang disonglap untuk ‘bailout’ projek New Generation Patrol Vessel (NGPV) adalah sesuatu yang wajar dan boleh diterima?

“Satu hari nanti, takkan dana LTAT juga boleh disonglap untuk ‘bailout’ projek-projek yang lain. Salah guna dana adalah jenayah dan tidak boleh diketepikan,” kata beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat