Persepsi Kerajaan Gagal, Perdana Menteri Wajar Buat Rombakan Kabinet

- Advertisement -

Perselisihan dua parti utama dalam kerajaan, UMNO dan Bersatu sudah berlarutan sejak September 2020 sehinggalah sekarang. Kedua-dua pihak mempunyai hujahan dan pandangan tersendiri.

Memilih pihak mana yang mahu dianggp benar atau betul juga bergantung sejauh mana makumat yang kita tahu ada kebenaran. Sejauh mana kita meneliti dan memahami kronologi peristiwa-peristiwa yang berlaku. Namun kerap kali politik dan sejarah, sikap berpihak bergantung kepada di mana kita berdiri.

Di dalam Bersatu ada kumpulan mahu ‘membunuh’ UMNO. Mereka melakukan keputusan-keputusan yang berusaha mengecilkan peranan dan kedudukan strategik UMNO dalam politik. Malahan perundingan kerusi UMNO – Bersatu gagal di peringkat awal juga kerana sikap dan pemikiran kumpulan ini.

Sebab itu beberapa orang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO seperti Mohamad Hassan, Abdul Rahman Dahlan, Zambry Abdul Kadir, Ahmad Shaberry Cheek dan Azalina Othman Said memilih untuk menyokong gerakan UMNO meninggalkan kerajaan.

Di dalam UMNO juga ada yang mahu melihat kerajaan ini gagal. Mereka  berusaha memecah-belahkan kerajaan ini sejak Ogos 2020 lagi dengan pelbagai kenyataan, tindakan dan usaha sama politik jajaran baharu. UMNO di luar kerajaan lebih menguntungkan mereka.

Permintaan demi permintaan atas nama rakyat dijadikan galang ganti sokongan sementara mereka. Apabila tuntutan tertentu dipenuhi, mereka datang dengan tuntutan lain pula. Dalam masa yang sama, di belakang tabir mereka berterusan bekerja untuk menjatuhkan kerajaan.

Sudah tentu semua tuntutan tersebut baik untuk rakyat, namun mereka juga tahu kemampuan dan keupayaan kerajaan tidak mungkin memenuhi semua tuntutan tersebut.

Justeru permintaan-permintaan ini bukanlah ikhlas tetapi lebih kepada mewujudkan kronologi alasan bagi menjustifikasi agenda sulit mereka. Mereka meletakkan benchmark atau tanda aras tinggi supaya kerajaan ini gagal.

Ini adalah realiti politik yang sangat memenatkan rakyat sejak September 2020 lagi

Perubahan kecil dalam kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidddin Yassin rabu lalu sebenarnya tidak mencukupi untuk meyakinkan rakyat.

Dalam pengumuman tersebut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri. Manakala Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien diberi tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Keselamatan dan membantu Perdana Menteri dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Walaupun terdapat tanggapan pelantikan ini merupakan usaha terakhir Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatukan kerajaan yang rapuh, namun realitinya sangat jauh berbeza.

Muhyiddin telah lama memaklumkan kepada UMNO bahawa beliau bersedia melantik Timbalan Perdana Menteri dari UMNO sekiranya parti tersebut mencalonkan beberapa nama kepada beliau.

Namun hal ini tidak pernah diselesaikan secara tuntas sehinggalah beberapa hari lalu 35 Ahli Parlimen Barisan Nasional membuat tuntutan terbuka kepada Perdana Menteri agar dilantik Timbalan Perdana Menteri dari kelangan mereka.

Dari segi kedudukan dalam parti, Ismail Sabri adalah orang paling kanan yang layak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ini berikutan kedudukan Presiden UMNO yang mempunyai kes mahkamah dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan bukan Ahli Parlimen.

Perubahan peranan Hishammuddin boleh difahami kerana beiau dikatakan mengetuai blok 25-29 Ahli Parlimen BN pasca PRU-14.

Cuma perubahan kecil ini tidak mencukupi jika Muhyiddin mahu kerajaannya kekal sehingga akhir penggal.

Perdana Menteri perlu mempertimbangkan satu rombakan kabinet bagi menunjukkan perubahan yang dibuat rabu lalu bukan sekadar kosmetik untuk meredakan tekanan UMNO.

Misalnya adalah tidak realistik meletak tanggungjawab Menteri Luar Negeri mengetuai Kluster Keselamatan. Hishammuddin tidak langsung mempunyai agensi berkaitan keselamatan untuk membolehkan beliau menguruskan hal keselamatan negara dengan lebih efektif.

Sekurang-kurangnya sebagai Menteri Kanan Kluster Keselamatan Hishammuddin perlu mengetuai salah satu cabang penting keselamatan sama ada Pertahanan, Dalam Negeri atau Majlis Keselamatan Negara.

Selain itu banyak juga Kementerian yang gagal memainkan peranan mereka dengan efektif sehingga memberi ruang kepada musuh mencipta kempen buruk kepada kerajaan.

Kerajaan perlu dilihat bersedia membuat perubahan dalam menangani kelemahan beberapa anggota kabinetnya. Apabila gelolmbang kemarahan rakyat terlalu besar, sama ada kelemahan itu satu persepsi atau fakta sudah tidak penting.

-Dipetik dari Sinar Ahad 11 Julai 2021

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat