Buka Parlimen, darurat tak dilanjut dan kegagalan kerajaan tangani Covid-19 isu penting sembah menghadap Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Setelah tiga hari berlangsungnya sesi sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah banyak isu yang telah disuarakan pemimpin-pemimpin utama parti politik tanah air.

Hari ini merupakan hari terakhir sesi bersemuka fizikal antara Agong dan presiden-presiden parti.

Sesi sembah menghadap itu dimulakan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan juga Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Kemudian diikuti PAS yang diwakili Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

Manakala bagi hari terakhir sesi ini dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan terakhir Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili .

Antara isu-isu yang diketengahkan sepanjang tiga hari itu iaitu desakan supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan Parlimen bersidang semula, darurat tidak dilanjutkan , segerakan bantuan kepada rakyat terjejas akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), kesengsaraan rakyat akibat Covid-19.

Bagaimanapun, tiada isu pertukaran kerajaan dibangkitkan kepada Agong ia sebaliknya lebih kepada usaha pengembalian semula hak demokrasi berparlimen.

Rata-rata pemimpin politik menganggap pertemuan dengan Agong ini adalah platform terbaik wakil rakyat menyampaikan permasalahan rakyat memandangkan Dewan Rakyat digantung dan tidak bersidang hampir setengah tahun sejak proklamasi darurat.

Bahkan mereka menganggap kerajaan PN gagal menguruskan pandemik Covid-19 dan mencadangkan beberapa idea kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bukan itu sahaja, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong berkenaan penubuhan kerajaan atau kuasa baharu sama seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang pernah ditubuhkan pada tahun 1969.

Menurut beliau penubuhan MAGERAN berjaya memberi penyelesaian kepada situasi politik negara pada suatu ketika dahulu. Bagaimanapun MAGERAN tidak dipersetujui Pakatan Harapan (PH).

Manakala semua presiden komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong pada Isnin depan.

Jurucakap Pejabat Ketua Menteri Sarawak berkata, pertemuan empat pemimpin parti dengan baginda akan diadakan secara persidangan video.

Kemuncak episod pertemuan ini akan dibawa dan dibahaskan dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun ini yang dianjurkan Yang di-Pertuan Agong.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah atas inisiatif Seri Paduka Baginda dan akan dipengerusikan oleh Baginda berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat. -SuaraTV

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat