KUALA LUMPUR – Sebagai langkah waspada dan berjimat cermat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua agensi kerajaan termasuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri.
“Kita harus terus waspada, pimpinan perlu memulakan langkah yang lebih positif, saya telah memutuskan bersama dengan Jemaah Menteri tadi supaya semua agensi kerajaan dan GLC serta GLIC tidak akan menganjurkan perayaan rumah terbuka Aidilfitri.
“Ini memberikan satu mesej supaya perbelanjaan lebih cermat dan sederhana.
“Ada yang bertanya kalau keadaan terkawal, harga dan barang keperluan seperti minyak dan gas itu masih boleh disediakan dan mencukupi, apa keperluan kita waspada dan berjimat? Saya kata ini langkah wajar bagi kita supaya jangan kita nanti terjebak dengan keadaan yang lebih parah.
“Jadi sebaiknya kita ambil sikap yang lebih sederhana, lebih bertanggungjawab,” katanya dalam sidang media khas pada Rabu.
Bukan cuma itu, beliau yang juga Menteri Kewangan mengeluarkan arahan agar Menteri dan seluruh anggota pentadbiran dan jabatan-jabatan dihadkan lawatan ataupun kunjungan luar negara.
“Melainkan yang memang dalam jadual yang wajib dihadiri. Oleh kerana perkembangan itu berlaku dalam masa yang pantas dan menuntut kita mengkaji dari dekat.
“Maka kita telah putuskan mesyuarat Jemaah Menteri khas akan diadakan pada pagi Jumaat 13 Mac 2026 ini akan memberi ruang Jemaah Menteri meneliti kedudukan fiskal negara, memantau perkembangan semasasecara lebih nyata dan dekat dan menentukan hala tuju dan langkah seterusnya yang harus kita tangani.
“Kita telah lalui ujian kemelut sebelum ini dan saya yakin Insya-Allah dengan sikap lebih bertanggungjawab, dengan kerjasama semua pihak, pihak pimpinan kerajaan, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat kita dapat menangani permasalahan ini dengan baik,” ujar Anwar.



