Keputusan kekalkan kadar OPR bantu sektor pembuatan, industri kawal kos

- Advertisement -

SUNGAI BULOH – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah memberi manfaat kepada sektor pembuatan dan industri lain berikutan langkah itu membantu mengawal kos, kata Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai.

“Jika OPR naik, beban kewangan industri (sektor pembuatan) akan meningkat.

“Langkah ini memberi impak besar kepada industri dan individu,” katanya kepada media pada pembentangan hasil Kajian Keadaan Perniagaan FMM.

Pada 7 Mac, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM memutuskan untuk mengekalkan kadar OPR pada 3.00 peratus dan pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi.

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” menurut bank pusat itu.

Sementara itu, FMM menjangkakan sektor pembuatan negara berkembang sederhana pada separuh pertama 2024 di tengah-tengah keadaan ekonomi yang bertambah baik.

Thian Lai berkata, sektor itu masih mampu mendapat momentum walaupun perlahan dengan jangkaan peningkatan dalam jualan, pengeluaran, pelaburan modal, pengambilan pekerja disamping pengenduran dalam kadar faedah global dan inflasi.

“Walaupun kami menghadapi banyak cabaran pada awal 2023, menjelang separuh kedua 2023, aktiviti pembuatan mula bertambah baik,” katanya.

Tinjauan yang dijalankan mulai 12 Januari hingga 26 Februari 2024 itu menarik 613 responden di seluruh negara.

Walaupun terdapat peningkatan, beberapa petunjuk kekal di bawah ambang keyakinan, yang mana, responden agak berhati-hati pada separuh pertama 2024, khususnya yang membabitkan jualan tempatan serta eksport, volum pengeluaran dan penggunaan kapasiti, katanya.

Tinjauan itu menjejaki keyakinan perniagaan melalui Indeks Persekitaran Perniagaan FMM (FMM BCI) dan merangkumi prestasi sebenar pada separuh kedua 2023 serta tinjauan bagi separuh pertama 2024.

Ia menunjukkan bahawa semua penunjuk berada di paras positif daripada tinjauan sebelumnya kecuali bilangan pekerja dan kos pengeluaran.

Thian Lai berkata, majikan masih bersikap berhati-hati khususnya dalam pengambilan pekerja kerana ianya merupakan kos kekal selain kos pengeluaran yang kekal tinggi berikutan ringgit yang lebih lemah.

“Seperti yang anda tahu, kos pengeluaran masih lagi memuncak disebabkan oleh kelemahan ringgit dan kos kami juga telah meningkat sehingga 37 peratus sejak dua tahun lalu,” tambahnya.

Thian Lai ketika mengulas mengenai pertumbuhan pendapatan dan keuntungan sektor itu berkata majoriti (56 peratus) daripada responden tinjauan melihat kenaikan sehingga 10 peratus berbanding 2023. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat