Malaysia janji jaga kebajikan, lindungi migran Indonesia – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri hari ini menyatakan komitmen menjamin kebajikan dan perlindungan pekerja migran warga Indonesia di Malaysia.

Ismail Sabri memberitahu Presiden Indonesia, Joko Widodo bahawa Malaysia sentiasa menghargai sumbangan pekerja migran warganegara Indonesia kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan kehidupan rakyat Malaysia.

“Saya telah memberi jaminan kepada Bapak Presiden, Kerajaan Malaysia akan terus memastikan kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia tetap dipelihara.

“Contohnya, pada tahun lepas, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) telah diluluskan pindaannya, yang menjamin keselesaan penginapan pekerja, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi juga untuk rakyat asing.

“Saya dan Bapak Presiden seterusnya mengambil maklum tentang kemajuan proses bagi memuktamadkan MoU Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia di antara Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia.

“Kami percaya isu-isu yang tertunggak akan dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat,” katanya ketika dalam kunjungan ke Istana Bogor pada Rabu.

Perdana Menteri juga memaklumkan, Malaysia juga berharap agar Program Rekalibrasi yang telah dilanjutkan oleh Kerajaan Malaysia sehingga penghujung tahun ini, dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warganegara Indonesia di Malaysia yang ingin pulang secara sukarela atau untuk bekerja secara sah di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, dari aspek kerjasama ekonomi pula, Ismail Sabri berkata, pemindahan dan pembangunan Ibu Kota Negara baru Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur adalah tepat.

” Yang Mulia Bapak Presiden, Malaysia percaya pemindahan dan pembangunan Ibu Kota Negara baru Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur adalah langkah yang tepat, seperti yang pernah lakukan oleh Malaysia 25 tahun yang lepas, dengan pemindahan pusat pentadbiran daripada Kuala Lumpur ke Putrajaya.

” Malaysia siap untuk berkongsi pengalaman berkaitan hal ini dan juga syarikat-syarikat daripada Malaysia bersedia untuk berkerjasama dan turut serta untuk membangunkan projek yang berskala mega ini,” ujarnya.

Kata beliau lagi, Indonesia merupakan rakan perdagangan dan pelaburan yang penting dan strategik bagi Malaysia, dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah USD15.67 billion pada tahun 2020.

“Pada suku ke-2 tahun 2021, jumlah pelaburan Malaysia di Indonesia adalah sebanyak USD12.53 billion dan pelaburan Indonesia di Malaysia USD1.16 billion.

” Saya mengalu-alukan pelabur-pelabur daripada Indonesia untuk terus datang melabur di Malaysia,” kata Perdana Menteri.-SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat