Jika Kes mencanak, kerajaan Mungkin sekat semula aktiviti sosial – Mastura

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak teragak-agak untuk menyekat kembali aktiviti sosial jika berlaku peningkatan kes jangkitan COVID-19 selepas negara beralih ke tahap endemik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mastura Yazid berkata, kerajaan hanya menggunakan satu prosedur operasi standard (SOP) apabila negara beralih ke tahap endemik iaitu protokol kesihatan umum.

“Bagaimanapun jika terdapat kes mendadak dan meningkat, kerajaan melaksanakan langkah pencegahan dan memantau dengan sistem ‘heightened alert’ yang mana hanya terdapat dua kategori dalam sistem ini iaitu tinggi atau rendah.

“Dilihat berisiko tinggi, kerajaan akan mengenakan sekatan aktiviti sosial, bukannya aktiviti ekonomi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-TUMPAT) di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Che Abdullah mahu mengetahui sama ada kerajaan bercadang membuat satu pelan baharu memandangkan ramai yang mula tidak menjaga SOP kerana bebas bergerak menjalankan aktiviti sosial, sekali gus wabak COVID-19 boleh meningkat.

Mastura menjelaskan SOP berkenaan akan diputuskan sebuah jawatan kuasa yang dipengerusikan Perdana Menteri berdasarkan penilaian yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, dalam proses peralihan ke fasa endemik, ada beberapa indikator perlu dipenuhi sebelum usaha baharu diperkenalkan.

Katanya, indikator itu adalah kadar penggunaan katil keseluruhan mesti kurang daripada 30 peratus, wad rawatan rapi (ICU) kurang 10 peratus dan jumlah Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) kurang 30 peratus.

“Kapasiti makmal untuk menjalankan ujian pula perlulah melebihi 90 peratus; kadar positif dalam endemik mestilah kurang lima peratus; jumlah petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 mesti di tahap minimum iaitu kurang satu peratus; dan kadar kes COVID-19 yang teruk masuk ke wad perlu kurang daripada 0.5 peratus.

“Jumlah kematian purata tujuh hari pula disasarkan kurang daripada 0.8 peratus, dengan jumlah kematian harian kurang daripada 10 kes; insiden kes pula kurang 1,200 sehari dan vaksinasi perlu lebih 80 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan,” katanya.

Terdahulu, menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) supaya Pelan Pemulihan Negara dirombak semula mengikut situasi semasa dan norma baharu kerana ia dilihat gagal, Mastura berkata, keutamaan melalui PPN adalah memastikan penularan dapat di kawal dan rakyat selamat.

“Sekiranya ini (PPN) ini dianggap gagal, Yang Berhormat sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik boleh kemukakan kepada jawatankuasa itu bagi memikirkan jalan keluar yang lebih baik.

“Pada masa ini, PPN melihat kepada trend sedia ada, jika ada penularan mendadak, kita ada cara mengatasi dan tidak perlu buat lagi perintah sekatan tetapi sekadar melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Menjawab satu lagi soalan tambahan Guan Eng mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai tanda kegagalan PPN, katanya SOP yang ditetapkan adalah berdasarkan nasihat KKM dan melalui empat peringkat kelulusan jawatankuasa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat