Industri Sambut Baik Kerajaan Perluas Caruman PERKESO Kepada Artis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyambut baik keputusan kerajaan memperluaskan liputan perlindungan sosial negara di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada artis seperti diumumkan Bajet 2022.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim berkata, kemudahan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO untuk penggiat seni sudah lama diperjuangkan kebanyakan persatuan mewakili sektor hiburan.

“Jadi, apa yang diumumkan ini adalah perancangan positif buat penggiat seni. Sekarang kita lebih memikirkan manfaat jangka masa panjang terutama selepas pandemik COVID-19.

“Seperti kita tengok, ramai (penggiat seni) hilang pekerjaan dalam tempoh ini. Jadi, perlindungan PERKESO boleh membantu mereka yang hilang pekerjaan atau jatuh sakit,” katanya kepada BH Online.

Pada awal September lalu ketika dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan seramai 11,460 tenaga kerja syarikat-syarikat produksi penerima Dana Kandungan Digital FINAS bakal menerima caruman perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO melalui Inisiatif Caruman Tenaga Produksi di bawah PEMULIH.

Perkara ini diperkemaskan lagi melalui Belanjawan 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengumumkan kerajaan akan meluaskan liputan perlindungan sosial negara di bawah PERKESO bagi caruman kumpulan pekerja sendiri dan sektor informal.

Menurut Zafrul,  inisiatif itu diteruskan dengan nilai caruman 80 peratus dan meluaskan manfaat kepada sembilan kategori pekerja sendiri baharu. Antara kumpulan itu adalah petani, nelayan, penjaja, artis, ejen pelancongan dan petugas Pemulihan Dalam Komuniti. Inisiatif ini dijangka memanfaatkan lebih 810,000 pekerja sendiri.

Sementara itu Ahmad berkata, perlindungan PERKESO sangat bermanfaat bagi penggiat industri kreatif.

“Sekarang penggiat seni tidak hanya dilindungi insurans peribadi, malah, PERKESO… Alhamdulillah,” katanya.

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) turut gembira dengan galakan kerajaan untuk artis mencarum dalam PERKESO.

Timbalan Presidennya, Zuraini Kassim, PERKESO akan membayar pencaruman dalam bentuk pencen bulanan berbanding skim insurans lain.

“Ahli yang mencarum RM598.20 setahun akan mendapat manfaat hampir RM3,000 sebulan jika mereka tidak mampu lagi mencari rezeki akibat kemalangan di tempat kerja,” katanya.

Zuraini berkata, wang pencen dibayar seumur hidup dan jika pencarum meninggal dunia, pasangan bakal menikmati manfaatnya

“Ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka,” tambahnya.

Zuraini berkata, selain kemudahan pencen, PERKESO menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti diperoleh pelawak Gbob.

Bekas peserta program Raja Lawak itu bukan saja menerima alat bantuan pemulihan, malah menikmati pencen ilat sebanyak RM475 sebulan.

Gbob juga bakal menjalani rawatan fisioterapi secara percuma di pusat pemulihan milik PERKESO di Melaka.

Beberapa artis yang ditemui oleh akhbar Harian Metro turut menyambut baik skim perkeso ini dan beberapa inisiatif lain untuk industri kreatif.

Pelakon Aeril Zafrel dilaporkan berkata, “berkenaan Perkeso pula, tentunya ia sangat bagus. Berdasarkan pengalaman terdapat kru yang kemalangan di lokasi, pergi atau balik kerja. Kebanyakannya tak terbela. Kalau ada insuran peribadi okaylah, tapi kebanyakannya tidak ada sebab mereka bekerja secara bebas. Dengan adanya caruman ini ia lebih terjamin dan terbela. Sebab penggiat industri seni ini banyak bergantung harap pada projek,” katanya.

Pelakon dan pengacara Zoey Rahman turut menyifatkan caruman Perkeso buat anak seni sesuatu yang bagus selain dapat meringankan beban.

“Peruntukan diumumkan Menteri Kewangan semalam buat industri kreatif dan caruman Perkeso adalah bagus dan sangat digalakkan. Dengan cara itu artis dapat perlindungan jika ada apa-apa berlaku. Jika ada pampasan dari Perkeso, dapatlah meringankan beban artis,” katanya.

NOTA:

Dalam pembentangan Belanjawan 2022 Kerajaan mengumumkan perluasan perlindungan Perkeso dalam melindungi golongan pekerja sendiri dan sektor informal menerusi Program Geran Penuh atau Padanan Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS)

Perluasan menerusi inisiatif ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 810,000 pekerja termasuk golongan artis, nelayan dan ejen pelancongan dengan manfaat nilai caruman sehingga 80 peratus.

Bermula tahun 2022, program SPS Lindung akan dijenamakan semula dan dipecahkan mengikut sembilan (9) kategori Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang dilindungi iaitu SPS Khidmat, SPS Gig, SPS Usahawanita, SPS Tani, SPS Jaja, SPS Seni, SPS Lain Upaya, SPS Lancong dan SPS Orang Asal.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat