Persiapan Deepavali sekitar Little India Jalan Tengku Kelana ‘suram’

- Advertisement -

KLANG, 10 Nov  — ‘Little India’ di Jalan Tengku Kelana di sini yang sinonim dalam kalangan warga Klang sebagai tumpuan membeli-belah khususnya menjelang Deepavali dilihat agak suram walaupun perayaan itu hanya berbaki tiga hari lagi sebelum disambut Sabtu ini.

Tinjauan Bernama mendapati tidak ramai pengunjung membanjiri lokasi itu seperti tahun-tahun sebelumnya, sebaliknya hanya kelihatan penjual serta peniaga yang setia menunggu pembeli.

Ia mungkin disebabkan peningkatan kes positif harian COVID-19, ditambah pula dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir di seluruh negeri di Semenanjung, yang pastinya menjadikan orang ramai ‘berkira-kira’ untuk keluar membeli barangan bagi menyambut pesta cahaya itu.

Rata-rata peniaga yang ditemui Bernama memberitahu walaupun perayaan Deepavali semakin hampir, ramai yang memilih untuk duduk di rumah sahaja, tidak ramai yang keluar membeli-belah.

Pemilik kedai tekstil dan pakaian, S Navin Kumar, 34, berkata kebiasaannya menjelang Deepavali, bukan saja warga bandar itu yang membeli-belah di Little India Jalan Tengku Kelana, malah orang ramai dari luar Selangor juga turut memeriahkan lokasi berkenaan.

“Orang memang tidak ramai macam tahun dulu-dulu. Tapi masih ada yang datang beli sari atau kurta, namun dalam jumlah yang sedikit, mungkin kerana kekangan kewangan. Ada keluarga datang beli baju untuk anak-anak sahaja.

“Biasanya dulu, mereka dari luar Selangor juga datang dengan bas rombongan untuk sembahyang di Kuil Perunal, di sini, dan akan membeli-belah di sekitarnya tapi sekarang, hanya orang di sekitar Klang sahaja yang membeli barangan di sini,” katanya.

Peniaga kuih tradisional, Jeswind Sunder, 34, pula berkata beliau terpaksa menanggung kerugian kerana ramai pelanggannya membatalkan tempahan kuih-muih tradisional berikutan prosedur operasi standard (SOP) Deepavali yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

“Kebanyakan yang tempah kuih untuk disajikan pada tetamu dan dibawa ke kuil. Namun apabila aktiviti ziarah tidak dibenarkan dan SOP sembahyang di kuil yang ketat, maka ramai yang membatalkan tempahan.

“Macam sekarang ini saya berharap kepada jualan harian kuih-muih walaupun jumlah yang beli tidak banyak. Mana yang tak habis dan rosak, terpaksa saya buang,” katanya.

Bagi pelukis inai, G Kisnawe, 20, pula, khidmatnya untuk membuat lukisan inai sempena sambutan Deepavali pada tahun ini juga berkurangan dan tidak semeriah dahulu.

“Biasanya kalau sudah mula cuti sekolah untuk Deepavali, sudah ramai anak gadis datang lukis inai namun kali ini suasana nampaknya agak suram. Kalau dahulu, hampir 20 pelukis inai menyediakan khidmat serupa di sini, tetapi kini saya sahaja yang masih bertahan,” katanya.

Pada 5 Nov lepas, kerajaan mengumumkan larangan pergerakan rentas mukim, daerah atau negeri bagi mereka yang berada di kawasan PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk tujuan balik kampung sempena Deepavali.

Penganut Hindu di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKPB dibenarkan mengikuti upacara keagamaan pada hari pertama sambutan dengan SOP yang ketat, namun tidak dibenarkan dalam kawasan PKPD.

Bagi aktiviti ziarah pula maksimum 20 orang terdiri daripada keluarga terdekat dibenarkan bagi kediaman bertanah sementara kediaman strata pula tidak boleh melebihi 10 orang bagi keluasan kurang 1,500 kaki persegi (kps) dan maksimum 15 orang untuk premis berkeluasan 2,500 kps.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat