KKM akan berbincang dengan KPM susulan lonjakan kluster influenza di Sekolah – Dr Dzulkefly

PUTRAJAYA — Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan segera dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menilai langkah terbaik menangani peningkatan mendadak kluster influenza yang kini banyak melibatkan sekolah dan tadika di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad, berkata perbincangan itu akan memberi tumpuan kepada tindakan pencegahan bersama termasuk kemungkinan penutupan sementara sekolah sekiranya situasi memerlukan.

“Perkara ini perlu ditangani dengan pendekatan menyeluruh kerana ia melibatkan pelajar, guru dan komuniti sekolah secara keseluruhan. Kita tidak boleh melihatnya semata-mata sebagai isu kesihatan, tetapi juga sebagai isu sosial dan pendidikan.

“Sebab itu, penyelarasan antara KKM dan KPM amat penting agar setiap keputusan dibuat dengan mengambil kira kepentingan pelajar tanpa menjejaskan keselamatan mereka.

“Hal penutupan sekolah berada di bawah bidang kuasa KPM. Namun, KKM akan terus memberikan panduan kesihatan awam dan pemantauan rapi terhadap situasi semasa,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, KKM kini memantau perkembangan peningkatan kes influenza di seluruh negara dan bersedia mencadangkan tindakan lanjut sekiranya situasi bertambah serius.

“Kita memantau rapat trend peningkatan kes ini dari semasa ke semasa. Jika ada keperluan, kita akan bertindak dengan cepat dan berkoordinasi bersama pihak KPM bagi memastikan jangkitan dapat dikawal.

“Langkah yang diambil perlu bersifat praktikal dan berpandukan data semasa supaya tidak menimbulkan panik dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat.

“Sekiranya perlu, saya akan berbincang dengan Menteri Pendidikan untuk menentukan langkah seterusnya bagi mengawal penularan di sekolah,” katanya.

Setakat Minggu Epidemiologi ke-40, kadar influenza-like illness (ILI) meningkat kepada 7.38 peratus berbanding 5.95 peratus minggu sebelumnya, manakala kadar kemasukan kes SARI menurun sedikit kepada 9.08 peratus.

“Peningkatan ini memberi isyarat jelas bahawa kita perlu kembali memperkukuh langkah pencegahan di lapangan, terutamanya di kawasan tumpuan seperti sekolah dan taska,” katanya.

“KKM telah menggerakkan pasukan kesihatan di peringkat negeri dan daerah untuk menjalankan pemantauan serta memberi nasihat kesihatan kepada pihak sekolah,” katanya.

Jumlah kluster influenza turut melonjak kepada 97, berbanding hanya 14 kluster minggu lalu, dengan majoriti kes dikesan di sekolah dan tadika.

Berdasarkan survelan makmal, kadar positiviti influenza kini 20.1 peratus, dengan strain utama dikenal pasti sebagai Influenza A (H3) bermusim.

“Kebanyakan kes yang dilaporkan adalah terkawal, namun lonjakan mendadak ini menunjukkan virus sedang aktif menular dalam komuniti.

“Kita tidak mahu keadaan ini berlarutan hingga mengganggu aktiviti pembelajaran, sebab itu langkah intervensi awal amat penting,” katanya.

Dr Dzulkefly turut menyeru pelajar, guru dan ibu bapa agar mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk tidak hadir ke sekolah jika bergejala, memakai pelitup muka serta mengamalkan semula SOP kebersihan diri.

“Setiap individu memainkan peranan besar dalam memutuskan rantaian jangkitan. Jika bergejala, sebaiknya berehat di rumah dan elakkan kontak rapat dengan orang lain.

“KKM juga menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan semula tabiat pencegahan seperti pemakaian pelitup muka dan mencuci tangan, terutama di tempat awam dan sekolah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat