Kerajaan bantu ringankan beban pekebun kecil tangani kos tanaman semula — Johari

KUALA LUMPUR — Ramai pekebun kecil kini berdepan tekanan kewangan apabila tidak mampu menanggung kos tinggi bagi melaksanakan tanaman semula pokok kelapa sawit yang sudah mencecah usia lebih dua dekad, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, keadaan itu menjejaskan hasil dan pendapatan golongan berkenaan kerana pokok sawit tua tidak lagi mengeluarkan hasil yang optimum, sekali gus menurunkan produktiviti keseluruhan sektor sawit negara.

“Ramai pekebun kecil tidak mampu pinjam duit atau keluar modal sendiri untuk tanam semula. Pokok mereka sudah tua, hasil semakin berkurang, tapi nak ganti pula memerlukan kos tinggi. Sebab itu kementerian perlu bantu,” katanya selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 sebelum itu mengumumkan peruntukan hampir RM120 juta bagi menampung sebahagian kos tanaman semula sawit tua milik pekebun kecil.

Johari menjelaskan, langkah tersebut amat penting bagi memastikan pendapatan lebih 400,000 pekebun kecil di seluruh negara tidak terjejas akibat penurunan hasil sawit tua, selain mengekalkan momentum pengeluaran minyak sawit mentah negara.

“Kalau tanaman semula ini tak dibuat, hasil menurun dan akhirnya eksport serta pendapatan negara juga terjejas. Tapi kita kena faham, ramai pekebun kecil tiada keupayaan kewangan. Sebab itu bantuan ini penting,” jelas beliau.

Menurut Johari, kos tanaman semula termasuk penebangan pokok lama, penyediaan tapak, pembelian benih baharu dan tempoh menunggu empat tahun sebelum pokok kembali berbuah menjadi punca utama pekebun kecil keberatan melaksanakannya.

“Empat tahun pertama tiada hasil. Itu tempoh yang sukar bagi pekebun kecil. Jadi kerajaan perlu pastikan bantuan bukan sekadar dana sekali beri, tapi bersifat berterusan dan bersasar,” katanya

Beliau turut menegaskan bahawa kementerian kini menilai semula skim bantuan tanaman semula agar lebih realistik dengan cabaran semasa serta mengambil kira perbezaan kos antara kawasan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Kita sedar kadar bantuan sekarang masih belum mencukupi, tapi kerajaan komited menambah baik skim sedia ada supaya tiada pekebun kecil yang tercicir,” tegasnya.

Johari berkata, kira-kira 27 peratus ladang sawit negara dimiliki oleh pekebun kecil, menjadikan kumpulan itu tonggak penting dalam memastikan kelangsungan industri sawit negara yang bernilai antara RM115 bilion hingga RM120 bilion setahun.

“Mereka ini bukan pemain kecil dalam ekonomi sawit mereka penyumbang utama. Jadi, bila kita bantu pekebun kecil, kita sebenarnya sedang melindungi keseluruhan rantaian ekonomi sawit negara,” katanya.

Beliau menambah, usaha memperkukuh sokongan kepada pekebun kecil bukan sahaja memastikan pendapatan mereka terjamin, tetapi juga menjadikan industri sawit Malaysia kekal mampan dan berdaya saing di peringkat global.

“Kalau pekebun kecil dapat tanam semula dengan pokok baharu dan lebih produktif, seluruh industri akan lebih kuat. Ini pelaburan untuk masa depan, bukan sekadar bantuan sementara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat