KUALA LUMPUR,– Kenyataan Datuk Dr Puad Zarkashi bahawa beliau akan membuat “pengumuman penting” pada 27 Jun ini mencetuskan spekulasi beliau tidak berpuas hati dengan calon yang dipilih Barisan Nasional (BN) untuk menggantikannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.
Menurut sumber yang memberitahu SuaraTV, Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor sebelum ini telah memaklumkan kepada Puad bahawa beliau akan dikekalkan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Bagaimanapun, sumber sama mendakwa Puad tidak berpuas hati selepas cadangan calon yang dikemukakan beliau untuk menggantikannya di Rengit tidak dipersetujui UMNO negeri.
Difahamkan, UMNO Johor mempunyai pertimbangan berbeza kerana terdapat calon lain yang lebih kanan dalam hierarki parti serta dinilai berkelayakan untuk mewakili BN di kerusi tersebut.
Spekulasi itu timbul selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu menyatakan terdapat sesuatu yang “tidak kena” dalam senarai calon BN Johor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.
Puad sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit atas faktor usia.
Beliau turut menegaskan orang muda yang terlatih dan berpendidikan wajar diberi peluang untuk menggantikannya.
Bagaimanapun, dalam kenyataan terbaharu, Puad mendakwa pandangan itu tidak diindahkan.
“Saya akan membuat pengumuman penting pada 27 Jun 2026. Perkembangan terkini UMNO Johor merisaukan. Saya tidak akan menoleh belakang walaupun saya hanya insan kerdil,” katanya.
Menurut Puad, beliau melakukan “keberanian politik” untuk meneruskan perjuangan selepas pandangannya tidak diberi perhatian.
Setakat ini, beliau tidak memperincikan bentuk pengumuman yang akan dibuat pada 27 Jun ini.
Namun kenyataan tersebut dijangka mencetuskan perhatian dalam kalangan akar umbi UMNO Johor, khususnya di Rengit, menjelang pengumuman rasmi senarai calon BN Johor.
BN Johor dijangka mengumumkan senarai calonnya hari ini bagi menghadapi PRN Johor 2026.


