Arifah Azhari graduan PTSB raih Anugerah Pengarah, pengorbanan ibu bapa OKU jadi inspirasi

Oleh Zihan Zari

ARAU – Dibesarkan dalam keluarga yang menjadikan bahasa isyarat sebagai medium komunikasi harian, Arifah Azhari membuktikan keadaan itu bukan penghalang buatnya untuk melakar kecemerlangan apabila menerima Anugerah Pengarah pada Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Utara 2026, dekat sini baru-baru ini.

Arifah,22, graduan Diploma Kejuruteraan Awam Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) itu menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.76, sekali gus turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Jabatan Kejuruteraan Awam atas pencapaian cemerlangnya dalam akademik, kepimpinan dan kokurikulum.

Beliau merupakan anak kelima daripada sembilan beradik kepada pasangan Azhari Hj. Zainol dan Che Asma Hamzah, kedua-duanya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan sejak lahir yang menetap di Sungai Setar Kechil, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Bapa Arifah yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Nibong Tebal menjadi sumber rezeki utama keluarga ketika membesarkan sembilan orang anak.

Walaupun kehidupan mereka sederhana dan menuntut pelbagai pengorbanan, kedua-dua ibu bapanya sentiasa mengutamakan pendidikan sebagai bekalan masa depan anak-anak.

Menurut Arifah, urusan persekolahan ketika beliau masih kecil banyak dibantu oleh abang, kakak serta ahli keluarga, manakala komunikasi di rumah dibina melalui bahasa isyarat yang diajar sendiri oleh ibu bapanya.

Ibunya turut membantu menjelaskan perkara yang sukar difahami mengikut keupayaan yang dimiliki.

“Mak dan abah sentiasa berpesan supaya belajar rajin-rajin agar menjadi orang yang berjaya pada masa hadapan. Walaupun cara kami berkomunikasi berbeza, kasih sayang dan sokongan mereka sentiasa menjadi kekuatan saya.

“Kejayaan yang dikecapinya hari ini bukanlah hasil usaha sendiri, sebaliknya lahir daripada doa dan pengorbanan keluarga, selain bimbingan guru, pensyarah serta sokongan rakan-rakan sepanjang tempoh pengajian, ”katanya.

Semangat saling membantu dalam keluarga turut menjadi antara pemangkin kejayaannya apabila abang-abangnya mengumpulkan wang untuk membeli sebuah komputer riba yang pada awalnya digunakan oleh kakaknya sebelum digunakan pula oleh Arifah sepanjang pengajian di PTSB.

“Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Usaha tidak pernah mengkhianati hasil,” katanya lagi.

Arifah kini berkhidmat sebagai Document Controller (DC) merangkap Quality Assurance/Quality Control (QA/QC) di JH-TRANS Sdn. Bhd. sambil menunggu keputusan permohonan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Selain mengekalkan kecemerlangan akademik, Arifah turut aktif dalam pelbagai aktiviti pembangunan pelajar sepanjang berada di PTSB.

Beliau pernah memegang jawatan Exco Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2024/2025,selain cemerlang dalam bidang sukan apabila meraih pingat emas acara bola jaring dan pingat perak bola tampar pada Polylimpik PTSB 2024.

Komitmen Arifah terhadap pembangunan diri turut terserlah apabila menerima Anugerah Gangsa Remaja Perdana Rakan Muda – The Duke of Edinburgh’s International Award 2025, memperoleh Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan CIDB – Lightweight Blockwall Installer (Level 1) serta meraih tempat ketiga Anugerah Projek Terbaik Diploma Kejuruteraan Awam dan Diploma Geomatik Showcase 2.0.

Dalam perkembangan sama, Pengarah PTSB, Hajah Norlili Juwita Arshad berkata, kisah Arifah membuktikan bahawa kejayaan seseorang tidak ditentukan oleh latar belakang keluarga atau kekangan yang dihadapi, sebaliknya dibentuk melalui kesungguhan, sokongan yang berterusan dan keyakinan terhadap nilai pendidikan.

“Apabila melihat kejayaan Arifah, kita bukan sahaja meraikan seorang graduan cemerlang, tetapi turut menghargai sebuah keluarga yang sentiasa meletakkan pendidikan sebagai keutamaan.

“Arifah merupakan contoh bagaimana Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuka ruang kepada pelajar untuk mengembangkan potensi secara menyeluruh.

“Beliau bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam kepimpinan, kokurikulum dan pembangunan sahsiah, sekali gus mencerminkan aspirasi PTSB dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan berakhlak mulia,”katanya.

Katanya lagi, kejayaan Arifah turut mencerminkan kekuatan sebuah institusi pendidikan yang bukan sahaja memberi penekanan terhadap kecemerlangan akademik, malah menyediakan ekosistem pembelajaran yang inklusif serta menyokong pembangunan potensi setiap pelajar tanpa mengira latar belakang.

Kisah Arifah mencerminkan bagaimana sokongan keluarga, kesungguhan dan pendidikan mampu membuka ruang kepada kejayaan, sekali gus menjadi inspirasi kepada masyarakat bahawa setiap individu berpeluang mengubah masa depan melalui ilmu dan usaha. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat