Kerajaan pertimbang nyahklasifikasi laporan forensik LCS, PM jamin siasatan telus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan (declassify).

Namun kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, proses ini perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

8 Ogos lalu, bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong menggesa kerajaan untuk nyahklasifikasi tiga dokumen penting berhubung projek LCS supaya rakyat Malaysia lebih memahami isu di belakang skandal kapal terbabit dan mereka juga dapat sama-sama mencari jalan penyelesaian.

Pada masa yang sama, menurut Perdana Menteri Kabinet juga membuat keputusan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

Tegas beliau, kerajaan memandang serius isu LCS yang sedang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan perkara ini dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Kabinet hari ini.

“Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menggesa SPRM agar menyegerakan siasatan dan sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara hendaklah membuat pendakwaan dan mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.

“Saya telah memanggil Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki selepas Mesyuarat Jemaah Menteri untuk segera bertindak selaras dengan keputusan mesyuarat,” kata Ismail Sabri dalam kenyataan pada Rabu.

Pun begitu, Perdana Menteri menyatakan, keputusan Kabinet hari ini tidak akan menggangu Proses Mobilisasi di bawah Pelan Pemulihan LCS yang diputuskan Jemaah Menteri pada 20 April 2022.

Jelas beliau lagi, kerajaan komited untuk meneruskan projek ini atas kepentingan pertahanan negara selaras dengan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Saya bagi pihak Kerajaan, memberi jaminan bahawa siasatan berhubung isu ini dijalankan dengan telus dan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terlibat,” tegas Ismail Sabri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat