Sedih di hati bukan kepalang kenang nasib rakyat – Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akui sedih di hatinya bukan kepalang apabila memikirkan kesan kepada rakyat impak daripada kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56 peratus daripada kadar sebelum ini.

Jelas Presiden Bersatu itu, kenaikan diesel itu amat tinggi sekali gus tidak mengendahkan nasib rakyat yang sudah cukup terbeban.

“Sedih saya mengenangkan bebanan yang ditanggung rakyat dek pengumuman kerajaan mengenai penetapan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter bermula hari ini. Saya mendidik diri agar sentiasa prihatin dengan keluhan rakyat dan itu yang saya terjemahkan ketika memegang tanggungjawab dan harapan rakyat sebagai Perdana Menteri.

“Langkah PH-BN ini sekadar bukti menunjukkan mereka tidak peka terhadap keluhan rakyat.

“Kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56 peratus berbanding sebelumnya adalah amat tinggi dan tidak mengendahkan nasib rakyat yang cukup terbeban dengan inflasi dan kos sara hidup yang sudah tinggi.

“Peringatan saya di Parlimen supaya pelaksanaan penyasaran subsidi langsung tidak diendahkan.

Sedih di hati bukan kepalang apabila memikirkan kesan kepada rakyat,” luah bekas Perdana Menteri itu dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu lagi, kenaikan harga diesel secara mendadak ini akan mengakibatkan kejutan ekonomi yang akan merebak ke seluruh pelusuk negara dan menyebabkan kesan gandaan (multiplier effect) kepada sektor ekonomi dan sosial yang lain.

Ujar Muhyiddin, beban ini jika ditaksir mungkin kosnya kepada rakyat adalah jauh lebih besar daripada RM4 bilion yang dapat dijimatkan dari penyasaran subsidi ini. Apakah ini berbaloi?

“Oleh kerana sistem ekonomi negara tidak efisien dan gagal diurus dengan baik oleh pucuk pimpinan kerajaan, maka rakyat akan menghadapi kesulitan hidup yang lebih teruk.

“Saya tidak yakin Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKDS) yang hanya terhad kepada jenis-jenis kenderaan komersil tertentu sahaja dapat mengatasi masalah kenaikan kos dalam rantaian bekalan.

“Syarat-syarat yang dikenakan ke atas penerima bantuan subsisidi diesel menerusi skim Budi Madani juga ketat yang boleh menyebabkan sebahagian besar pengguna tidak layak mendapat bantuan. Ini termasuk petani dan pekebun kecil yang menggunakan jentera diesel bagi mengeluarkan produk pertanian.

“Bagi yang layak menerima bantuan pula, jumlah RM200 sebulan pastinya tidak memadai untuk menampung kenaikan harga diesel yang terlalu tinggi. Akhirnya kenaikan kos dalam rantaian bekalan akan tetap berlaku dan ditanggung sepenuhnya oleh pengguna,” kata Muhyiddin.

Tegas beliau, penyasaran subsidi diesel tanpa langkah komprehensif untuk menampan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat adalah satu keputusan buruk yang dibuat oleh kerajaan. Kesannya akan dirasai serta merta.

“Ini hanya permulaan. Saya ingin mengingatkan bahawa rakyat akan lebih terbeban apabila kerajaan menarik balik subsidi RON 95 tidak lama lagi,” kata beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat