Malaysia-Uzbekistan sepakat perkasa filem

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas 31 tahun, sutradara tempatan bakal menyaksikan karya mereka ditayang pada Minggu Filem Malaysia di Tashkent, Uzbekistan hasil inisiatif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan pentadbir industri kreatif di negara yang memiliki reputasi lebih 100 tahun dalam bidang pembikinan filem itu.

Kali terakhir karya tempatan ditayangkan pada Minggu Filem Malaysia di Uzbekistan adalah pada 1991 dengan koleksi filem seperti Ali Setan, Bukit Kepong, Rantau Sepanjang Jalan, Jasmin, Tuah, Hati Bukan Kristal, Driving School, Mira Edora dan Fenomena mengisi slot tayangan.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, berkata kerjasama badan pembangunan filem Malaysia dan Uzbekistan dianggap penting dalam usaha memperkasakan industri perfileman termasuk bertukar kepakaran dan meneroka pasaran global.

“Melalui kerjasama ini, FINAS akan membantu menjayakan Minggu Filem Uzbekistan di Malaysia melalui tayangan filem di pawagam kita.

“Selain itu, kita bakal menghantar delegasi menyertai Festival Filem Tashkent yang bakal dianjurkan kelak.

“Sudah menjadi salah satu misi saya membawa filem kita ke peringkat antarabangsa dan meluaskan pasaran. Jadi, untuk merealisasikan usaha itu, kita kena jalin kerjasama dengan negara asing.

“Kebetulan kerajaan Uzbekistan mahu menganjurkan Minggu Filem Uzbekistan di Malaysia di mana mereka berhajat menayangkan beberapa filem Uzbekistan di sini.

“Kita tiada masalah menjayakannya kerana ada jaringan dengan pawagam di Malaysia. FINAS sudah beri lampu hijau dan sokong projek itu kerana kita juga mahu tayang filem Malaysia di Uzbekistan.

 

Md Nasir (kiri) ketika berbincang dengan Ketua Delegasi dari Uzbekistan, Suhrob Vaseev pada pertemuan, baru-baru ini. Foto Ihsan FINAS
Md Nasir (kiri) ketika berbincang dengan Ketua Delegasi dari Uzbekistan, Suhrob Vaseev pada pertemuan, baru-baru ini. Foto Ihsan FINAS

 

“Apabila orang kenal filem kita, mudah untuk pihak di sana membeli dan melanggannya,” kata Md Nasir kepada BH Online.

Katanya, Minggu Filem Malaysia di Uzbekistan jangka dianjurkan Oktober ini dengan menayangkan filem yang meraih kejayaan pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31, tahun lalu.

“Selain itu, kita mungkin akan bawa filem yang ditayangkan tahun ini yang dirasakan mempunyai potensi baik untuk diketengahkan.

“Dalam tempoh 10 hari, banyak filem tempatan boleh ditayangkan. Kita juga berbincang menganjurkan sesi apresiasi filem.

“Sesi ini pasti menarik kerana pembikin dan peminat filem dua negara boleh mengupas karya tempatan yang ditonton mereka,” katanya.

Sebelum ini, filem animasi popular, Ejen Ali The Movie mencipta sejarah apabila menjadi filem cereka tempatan pertama dialih kepada bahasa Russia dan Uzbekistan serta ditayangkan di republik itu.

Naskhah terbitan WAU Animation dan Primeworks Studios (PWS) itu muncul filem bukan tempatan pertama dialih suara ke bahasa Uzbekistan dan Russia, berbanding filem asing yang hanya dialih suara ke bahasa Russia.

Md Nasir berkata, Ejen Ali The Movie membuat penampilan sulung di pawagam di Uzbekistan sejak 15 Februari lalu.

“Filem Ejen Ali The Movie sudah ditayangkan di lebih 25 pawagam di tujuh bandar di Uzbekistan melalui bantuan rakan strategik, Amex Media dan pengedar filem Uzbekistan, World Pictures.

“Saya difahamkan sambutan hangat diterima. Namun, kami belum boleh pastikan jumlah kutipan. Tetapi berdasarkan maklum balas disampaikan dutanya, sambutan cukup baik,” katanya.

Kutipan tiket Ejen Ali The Movie di Malaysia mencapai RM30.5 juta lalu menjadi jualan tiket ketiga tertinggi di Malaysia selepas filem Munafik 2 dan Hantu Kak Limah.

Md Nasir berharap kerjasama dua hala dengan industri kreatif di Uzbekistan dapat dikembangkan termasuk melalui projek filem usaha sama.

“Kami harap dapat tandatangani memorandum persefahaman dengan mereka bagi projek kerjasama antara dua kerajaan.

“Kita tahu sejarah perfileman Uzbekistan panjang dan karya mereka diangkat tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sehingga kini, FINAS sudah memeterai perjanjian bersama Australia yang dimeterai pada 2019 dan sedang memuktamadkan inisiatif sama dengan China, Korea, Indonesia, Iran dan Perancis.

Pada Oktober tahun lalu, Festival Filem Antarabangsa Tashkent yang dianggap antara terbesar di dunia, kembali

dianjurkan selepas 24 tahun menyepi.

Festival ini mengalukan penyertaan 350 pembikin filem daripada 40 negara dengan fokus diberi kepada pengkarya

muda.

Pawagam di Uzbekistan sudah beroperasi lebih 100 tahun.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat