Tiada Titah Adendum dari Istana Negara – Kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM)
sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan mengesahkan bahawa tiada sebarang dokumen tambahan atau addendum yang berada dalam fail atau rekod rasmi berkait titah addendum.

BHEUU, JPM tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada pihak Istana Negara berhubung perkara ini.

Turut ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak menganggotai Lembaga Pengampunan mahupun terlibat dengan apa-apa urusan pentadbiran atau pengurusannya termasuk apa-apa perkara lain berkaitan pengampunan mana-mana banduan.

“Prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan adalah tertakluk sepenuhnya kepada Akta Rahsia Rasmi [Akta 88]. Semua dokumen yang berkaitan hanya boleh diakses oleh ahli-ahli Lembaga Pengampunan dan individu yang diberi kuasa secara langsung oleh Lembaga tersebut.

“Tiada mana-mana pihak lain, tanpa
mengira kedudukan atau jawatan, mempunyai akses kepada dokumen-dokumen tersebut, sejajar dengan prinsip kerahsiaan dan integriti.

“BHEUU, JPM sebagai Urus Setia kepada Lembaga Pengampunan juga tidak berurusan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengenai apa-apa perkara berhubung Lembaga Pengampunan kecuali kepada Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan itu dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya kali ke-61 yang telah diadakan pada 29 Januari 2024 telah dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Mesyuarat tersebut telah mempertimbangkan permohonan pengampunan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Najib Razak.

“Berhubung dengan perkara ini, BHEUU, JPM sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan mengesahkan bahawa tiada sebarang dokumen tambahan atau addendum yang berada dalam fail atau rekod rasmi di bawah BHEUU, JPM dan tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada pihak Istana Negara berhubung perkara ini.

“BHEUU, JPM menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya.

“Langkah ini penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat,” tegasnya.

BHEUU, JPM sentiasa komited dalam menjalankan tugas sebagai Urus Setia dengan penuh integriti, ketelusan, dan profesionalisme selaras dengan
Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang sedia ada.

Tegasnya, segalan urusan berkaitan dengan Lembaga Pengampunan telah dan akan terus dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan prosedur yang telah ditetapkan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat