KUALA LUMPUR – Negara akan kacau-bilau dan rakyat jelata boleh jadi edan kalau orang berkuasa melakukan sesuka hati untuk kepentingan sesama bangsawan dan golongan elit.
Wartawan veteran Datuk A Kadir mengingatkan, kita wajib hormati batu asas kenegaraan kita.
Dalam konteks ini beliau berkata, Malaysia adalah negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
“Kerajaan mentadbir dengan kehendak Parlimen. Kuasa Raja dihadkan oleh Perlembagaan dan konvensyen.
“Aspek perlembagaan dan konvensyen inilah yang dibahaskan dalam semua tindakan yang melibatkan Datuk Seri Najib Abdul Razak dalam kedudukannya sebagai banduan,” katanya.
A Kadir mempersoalkan, adakah boleh memberikan seorang banduan kebenaran menjalani pemenjaraan di rumah kalau tahanan di rumah tidak ada dalam Perlembagaan?
“Saya bertanya kerana daripada berbagai-bagai laporan media yang merujuk kepada bermacam-macam sumber, gambaran yang tercetus adalah tidak ada peruntukan undang-undang khusus bagi membolehkan banduan dipenjara di rumah. Ketiadaan peruntukan ini terbukti apabila, dalam ucapan belanjawan tahun 2025 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif (kepada penjara) untuk kesalahan tertentu.
“Dalam bahasa paling mudah, buat masa ini tidak ada peruntukan undang-undang untuk memerintahkan agar banduan dipenjarakan di rumah. Dalam bahasa undang-undang, dikatakan “Malaysian law currently lacks specific provisions for house arrest as an independent punishment.” Iaitu, undang-undang Malaysia buat masa ini tidak ada peruntukan khusus bagi tahanan di rumah sebagai hukuman yang berasingan atau tersendiri.
“Cuma, Seksyen 3 Akta Penjara 1995 memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk menetapkan (designate) mana-mana tempat seperti rumah, bangunan dan kompaun sebagai penjara untuk tujuan menahan banduan,” ujar beliau.
Tambah tokoh wartawan itu lagi, pemenjaraan di rumah lazimnya melibatkan pemakaian alat pengesan (monitoring device), pergerakan yang terhad, larangan minum arak dan berdekatan dengan orang lain.
“Maksudnya bukanlah macam orang biasa duduk di rumah. Apabila sesuatu tempat diisytiharkan sebagai penjara, ia tentulah akan dikawal oleh pengawal penjara. Bukan oleh isteri yang garang atau pengawal keselamatan dari Nepal.
“Saya yakin akan dipasang juga papan tanda yang mengatakan ini adalah penjara yang dikawal oleh warden bersenjata. Ini ada relevan kepada keselamatan orang ramai yang lalu lalang. Dalam ucapannya, Anwar, antara lain, berkata, “ia adalah dengan syarat ditetapkan dan dipantau oleh pegawai penjara.”
“Kalau kita masih ingat, ada seorang banduan ahli perniagaan bernama Abdullah Ang yang mendapat layanan istimewa sampai boleh keluar penjara untuk berkebun. Dia pun penjenayah kolar putih juga.
“Itu yang kita tahu sebab didedahkan oleh surat khabar The Malay Mail pada tahun 1989. Yang kita tidak tahu, wallahuaklam. Masa itu saya Pengarang Kumpulan New Straits Times yang termasuk The Malay Mail.
“Saya sengaja menyebut pemenjaraan di rumah bukan tahanan di rumah kerana orang yang hendak ditahan di rumah itu adalah banduan. Banduan tidak ditahan. Banduan dipenjarakan,” tegas beliau.
Kadir menulis sebagai mengulas perbahasan dan polemik mengenai Titah Addendum Al Sultan Badullah yang dikatakan memberi kelegaan hukuman kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kepada pemenjaraan di rumah.