Rumah Tanpa Luka – menyentuh realiti, mengangkat suara anak istimewa

Dunia drama Melayu sering dihiasi dengan kisah cinta, konflik keluarga dan dendam. Namun, drama terbaru Rumah Tanpa Luka terbitan Suhan Movies & Trading bersama BamBam Studios tampil dengan nafas segar apabila mengetengahkan isu yang jarang sekali diangkat – kisah seorang anak Down Syndrome yang tidak diinginkan keluarganya sendiri.

Ditayangkan di Astro Ria sejak 1 September lalu, drama arahan Nur Ain Sharif ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah refleksi sosial tentang bagaimana masyarakat memandang anak-anak istimewa. Lebih menarik, drama ini turut menyingkap beban yang digalas oleh anak perempuan sulung dalam keluarga satu situasi yang begitu dekat dengan kehidupan ramai penonton.

Watak Rose Ameena (lakonan adik Naura Arissa) menjadi nadi utama drama ini. Meskipun kelahirannya dianggap sial dan ditolak oleh ibu bapa sendiri, Rose digambarkan sebagai seorang anak berjiwa besar, penyayang dan tabah. Di sekolah, dia berdepan dengan buli, namun tetap mempunyai semangat untuk meneruskan hidup dengan sokongan sahabat baiknya, Dewi.

Kehadiran Rose dalam naratif drama ini membuka ruang untuk penonton memahami bahawa anak-anak Down Syndrome bukan sekadar simbol kelemahan, sebaliknya mereka membawa cahaya, kesetiaan dan kasih sayang yang tulus.

Walaupun tema utama drama ini berkisar tentang Rose, kehadiran dua karakter lelaki  Qiuzi (Shukri Yahya) dan Hayden Hayyan (Nadhir Nasar) menambah warna dalam jalan cerita.

Qiuzi, seorang mekanik yang memiliki lima bengkel, digambarkan sebagai lelaki “green flag”: rendah hati, setia dan jujur. Dia menjadi simbol harapan, sosok yang mampu memberi ruang selamat buat Kalsum (Erysha Emyra) dan Rose.

Sebaliknya, Hayden Hayyan pula mencerminkan sisi gelap realiti watak yang penuh konflik emosi, tegas tetapi dianggap “red flag” oleh penonton. Namun menurut Nadhir, Hayyan bukan sekadar antagonis tipikal; dia seorang anak yang memikul tanggungjawab besar terhadap keluarganya, menjadikannya manusia kompleks yang sukar dijudge hanya dari satu sudut.

Salah satu nilai tambah terbesar drama ini ialah keberanian pengarah menampilkan pelakon kanak-kanak istimewa sebenar. Menurut Shukri Yahya, pengalaman berlakon bersama Naura Arissa cukup mengujakan kerana Naura memberi sepenuh hati dalam setiap babak.

Nadhir pula menyifatkan kehadiran Naura sebagai satu berkat. “Dia tahu bila masa untuk berlakon, bila masa untuk berhenti. Senang bekerja dengan anak istimewa kerana mereka jujur dan tidak berpura-pura,” katanya.

Rumah Tanpa Luka bukan sekadar kisah cinta tiga segi atau konflik keluarga biasa. Ia mengajak penonton merenung bagaimana masyarakat sering menolak sesuatu yang berbeza, termasuk anak-anak Down Syndrome, sedangkan mereka adalah anugerah berharga.

Dengan kekuatan lakonan para pelakon utama seperti Erysha Emyra, Shukri Yahya, dan Nadhir Nasar, serta keberanian memberi ruang kepada adik Naura Arissa, drama ini dijangka meninggalkan kesan emosi yang mendalam.

Seperti judulnya, setiap rumah pasti ada “luka”. Namun, Rumah Tanpa Luka menunjukkan bahawa dalam luka itulah, ada penyembuh, ada pengajaran, dan ada sinar bahagia yang tidak dijangka.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat