KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Puad Zarkashi berkata, ahli parti itu bebas menyertai mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun mahu rakannya, Datuk Seri Nazri Aziz meninggalkan Muafakat Nasional (MN).
Kata Puad tidak salah Ketua Umno Padang Rengas itu menyertai NGO tetapi menegaskan gabungan diketuai Tan Sri Annuar Musa itu bukan lahir atas keringat perjuangan penyatuan ummah.
Dakwanya, ia tidak lebih ‘NGO transit politik’ didaftarkan seorang individu atas dasar suka berpersatuan yang kemudian mempelawa bekas setiausaha agung Umno itu sebelum disertai orang terpinggir seperti dua bekas menteri Tan Sri Noh Omar dan Datuk Zuraida Kamaruddin.
Adun Rengit itu turut mempersoalkan jumlah dibayar Annuar untuk mengambil alih NGO itu, serta kelayakannya bersama Noh memimpin penyatuan ummah.
“Sedangkan mereka suka main politik tikam belakang. Rekod buruk sudah ada dan tiada aura penyatu ummah.
“Apatah lagi Annuar Musa. (Baiklah Nazri) tinggalkan MN,” lapor FMT, semalam.
Semalam, Annuar yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat memuat naik gambarnya bersama Nazri di Facebook sambil mengucapkan terima kasih kerana menyertai dan menyokong MN.
Perkembangan terbaru itu menarik perhatian pemerhati politik mengenai status keahlian Nazri, yang juga duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat, dalam Umno.
Memetik Sinar Harian, Nazri dilaporkan berkata, beliau masih ahli Umno dan kekal sebagai ketuanya di Padang Rengas selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan parti yang lepas.
Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu turut menjelaskan, beliau sudah lama menyertai MN sejak sebelum PRU15.
Sebelum ini, Annuar memaklumkan keanggotaan MN terbuka kepada semua individu, merentasi parti, kaum, agama dan budaya.