Oleh: Zihan Zari
JOHOR BAHRU – Bahasa kolokial, khususnya loghat atau dialek Johor, memainkan peranan penting dalam membentuk identiti, jati diri masyarakat tempatan dan menjadi medium komunikasi harian serta lambang kebanggaan.
Selain itu, warisan budaya yang tidak ternilai, dikenali dengan beberapa ciri, seperti penggunaan kata-kata khusus, intonasi tersendiri yang menjadi bukti betapa kaya dan berwarnanya budaya bahasa di Johor.
Pengerusi Lembaga Penasihat Arkib Negara Malaysia (ANM), Tan Sri Dato ‘ Hj. Alimuddin Mohd Dom berkata demikian pada program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti ‘Meh Borak Loghat Johor’ di Hotel Thistle, pada Khamis.
Beliau berkata, sejarah bahasa kolokial Johor adalah refleksi perjalanan hidup dan budaya yang kaya serta dinamik dan sejak zaman Kesultanan Johor-Riau, telah berkembang seiring dengan perubahan sosial, budaya dan ekonomi di rantau ini.
Sebagai contoh, istilah seperti ‘meh’ (mari) dan ‘borak’ (berbual) adalah antara kata-kata digunakan dalam komunikasi harian masyarakat Johor yang mencerminkan keakraban dan kesepaduan.
Menurutnya, tahap kepelbagaian dialek Johor dikatakan paling kurang dan sebutannya tidak begitu ketara perbezaannya berbanding bahasa Melayu standard atau dialek-dialek lain.
Loghat Johor dikatakan berkembang mengikut situasi sejarah penghijrahan masyarakat “Melayu Dagang” ke Johor menyaksikan beberapa komuniti daripada luar wilayah seperti masyarakat Jawa, Banjar, Bugis dan Minang.
Selain itu, masyarakat dalam wilayah, terdiri daripada Kelantan, Terenggganu dan Melaka yang berhijrah ke Johor.
Menurutnya lagi, kajian yang dilakukan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim pada 1994, mendapati penggunaan dialek di Johor boleh dibahagikan kepada beberapa ragam, iaitu subdialek Melayu Terengganu, Melayu Pahang, Melayu Negeri Sembilan, Melayu Melaka dan subdialek Melayu Lenga.
“Dialek Johor bukan hanya terbatas sebagai alat komunikasi tetapi sebagai penanda aras budaya dan sejarah yang panjang serta berkembang mengikut peredaran zaman dan pengaruh luar, namun, kekal mempunyai ciri khas yang membezakannya dari bahasa standard yang lebih formal.
“Mendokumentasikan dan mengarkibkannya penting untuk memastikan warisan bahasa ini dapat disampaikan kepada generasi akan datang selain memupuk kesedaran dan kebanggaan terhadap bahasa kolokial Johor dalam kalangan bangsa Johor,”katanya.
“Bahasa bukan hanya alat komunikasi malah medium memperkukuhkan ikatan sosial dan menyampaikan nilai-nilai budaya sepertimana bahasa kolokial Johor, keunikannya adalah jambatan yang menghubungkan kita dengan sejarah dan tradisi.
“Semua pihak terutama generasi muda, tidak hanya memahami dan menggunakan bahasa ini dalam kehidupan seharian malah menghargai dan memeliharanya sebagai sebahagian daripada warisan yang tidak ternilai harganya,” katanya lagi.
Ujarnya, program ini tidak hanya mencapai matlamatnya dalam melestarikan bahasa kolokial Johor malah menjadi titik tolak bagi pengiktirafan dan penghargaan yang lebih luas terhadap semua loghat dan bahasa tempatan di Malaysia.
“Marilah bersama-sama dengan ANM demi kelangsungan dan kelestarian khazanah warisan nenek moyang kita yang tidak ternilai ini agar tidak pupus ditelan arus zaman dan kemodenan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah ANM, Dato’ Jaafar Sidek Hj. Abdul Rahman berkata, program jelajah ke seluruh negara ini imerupakan siri ke-10, telah dilaksanakan sejak tahun lalu, akan berakhir di Melaka pada 24 September ini dan kemuncaknya di Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial pada 15-16 Oktober ini.
Beliau berkata, konvensyen ini dijangka akan menghimpunkan para pengkaji, sasterawan, pengamal budaya dan orang ramai untuk membincangkan dan mencari kesepakatan bagi melestarikan keberdayaan bahasa komuniti.
“Program ini diadakan untuk merakam dan mendokumentasikan penggunaan bahasa kolokial dalam kehidupan seharian masyarakat setempat bagi menambah sumber rujukan dan penyelidikan bahasa kolokial di ANM dalam kalangan generasi kini dan akan datang.
“Masih banyak lagi maklumat berharga berkenaan bahasa kolokial dan lain-lain budaya suku kaum dan etnik yang belum diterokai, dikumpul, didokumentasi, dipelihara dan diterbitkan.
“Masyarakat diseru dan diajak untuk bersama-sama ANM merealisasikan hasrat ini demi kelangsungan dan kelestarian budaya negara kekal terpelihara.
“ANM menggalakkan penyelidikan dan kajian tentang bahasa kolokial Johor khasnya dan semua kaum dan etnik di Malaysia amnya yang boleh memberikan pemahaman mendalam tentang evolusi dan dinamika bahasa ini serta kepentingannya dalam konteks sosiobudaya masyarakat di negara ini.
“Lebih 4 juta bahan arkib yang tersimpan dalam repositori ANM manakala di ANM Johor pula, lebih 15,000 bahan arkib tersedia untuk dirujuk dengan bahan tertua yang tersimpan mengenai Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor pada 1895.
“Selain itu, bahan mengenai Surat-surat Sungai, Perjanjian Kangchu, Surat-surat Titah Perintah dan Surat Sembah pada 1907 dan lebih 450,000 bahan arkib dengan lebih 11 juta imej telah didigitalkan bagi memberi kemudahan rujukan secara dalam talian melalui sistem carian Online Finding Aid (OFA) yang boleh dicapai 24/7 tanpa sempadan masa dan tempat.
“Bahan arkib yang terdiri daripada bahan fail, dokumen, mikrofilem, gambar, peta, perjanjian, audiovisual dan sebagainya ini bukan hanya untuk disimpan dan dipelihara tetapi yang lebih penting adalah untuk dirujuk dan digunakan oleh orang ramai.
“Kunjungilah premis atau layarilah sistem carian ANM untuk menjalankan rujukan dan penyelidikan kerana jabatan ini merupakan institusi yang paling tepat untuk mendapatkan sumber rujukan sahih, berintegriti dan boleh dipercayai,” ujarnya lagi
Sementara itu, beberapa tokoh pembicara yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing telah dijemput dalam program ini bagi mengupas bahasa kolokial, khususnya loghat Johor.
Antaranya, Presiden Persatuan Linguistik Malaysia; dan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Nor Hashimah Jalaluddin (Landskap Dialek di Johor) ; Penolong Profesor Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Julaina Nopiah (Subdialek Muar – Satu Kajian Rintis); Ketua Satu Persatuan Penulis Johor, Amiruddin Md. Ali Hanafiah (Bahasa Kolokial Memperkukuh Ukhwah Masyarakat)
Selain itu, Wakil Komuniti Orang Asli Seletar Kampung Orang Asli Simpang Arang, Mohd Shafiee Noore (Penggunaan Bahasa Kolokial Komuniti Seletar) ; Timbalan Pengerusi Persatuan Bugis Johor, Abdul Hadi Ambok Intan (Bahasa Ugi sebagai Bahasa Kolokial Masyarakat Bugis di Johor), dan Guru Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan Seri Setia Jaya, Sahbudin Dolim (Keunikan dan Variasi Dialek Sedili) manakala , Pengerusi Sesi ialah Munsyi Dewan DBP, Azhar Salleh. – SUARA.TV