KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, pendirian Ahli Parlimen blok pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat bukan soal enggan membahaskan isu Tabung Haji.
Sebaliknya Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, ia berkaitan dengan keperluan memastikan satu isu yang begitu besar kepentingannya kepada umat Islam dan para pendeposit Tabung Haji dibincangkan dalam sidang khas yang benar-benar bersifat substantif dengan kehadiran Perdana Menteri sendiri.
“Hari ini menghadiri Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji. Namun, rakan-rakan Ahli Parlimen daripada blok pembangkang khususnya Perikatan Nasional mengambil pendirian untuk tidak mengikuti sidang tersebut dan keluar dari Dewan selepas usul supaya persidangan ditangguhkan sehingga Perdana Menteri hadir tidak diterima.
“Pendirian ini bukan soal enggan membahaskan isu Tabung Haji. Sebaliknya, ia berkaitan dengan keperluan memastikan satu isu yang begitu besar kepentingannya kepada umat Islam dan para pendeposit Tabung Haji dibincangkan dalam sidang khas yang benar-benar bersifat substantif dengan kehadiran Perdana Menteri sendiri.
“Dalam sidang media Perikatan Nasional tadi turut ditegaskan bahawa Sidang Khas yang sepatutnya menjadi ruang untuk membahaskan Laporan RCI akhirnya dilihat lebih kepada sesi penerangan Menteri sedangkan persoalan-persoalan penting yang timbul daripada laporan tersebut memerlukan jawapan dan pertanggungjawaban yang lebih menyeluruh,” katanya.
Menurut Menteri Besar Terengganu itu, Tabung Haji ialah amanah besar umat Islam. Maka, segala persoalan berkaitan pengurusan, keputusan pelaburan, kerugian serta dapatan RCI perlu dijelaskan secara terbuka dan bertanggungjawab.
“Kita mahu kebenaran ditegakkan, segala persoalan dijawab dan kepentingan para pendeposit Tabung Haji terus dipelihara. Ini soal amanah. Bukan soal politik semata-mata,” ujarnya.



