Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman tidak akan dibina – Nik Nazmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jemaah Menteri secara dasarnya telah bersetuju untuk tidak meneruskan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman baharu yang melibatkan 76 peratus kawasan tambakan laut.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berpandangan bahawa keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan cadangan pembangunan lapangan terbang baharu yang melibatkan tambakan di Pulau Tioman ini adalah selari dengan misi kementerian yang mengutamakan pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber asli dan alam sekitar secara optimum dan bertanggungjawab.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keputusan ini juga secara tidak langsung mencerminkan usaha kerajaan dalam mengimbangi kepesatan pembangunan dengan kelestarian alam sekitar demi mencapai kemampanan dan menjamin kesejahteraan
negara.

“NRECC telah mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan kerana penebusan kawasan perlindungan marin akan mengakibatkan
kemusnahan terumbu karang yang merupakan habitat penting pelbagai spesies hidupan laut dan juga merupakan tarikan utama ke Pulau Tioman.

“Pulau Tioman yang diwartakan sebagai Taman Laut turut mempunyai hutan hujan masih asli, sekali gus mempunyai habitat pelbagai spesies hidupan liar dengan sebahagian daripada pulau itu ditetapkan sebagai rizab hidupan liar,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan pada Rabu.

Jelas beliau, walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baharu adalah untuk menarik lebih ramai pelancong, pembinaan lapangan terbang baharu tersebut akan merosakkan tarikan semula jadi Pulau Tioman yang akan membawa kepada pelancongan yang tidak mampan.

“NRECC melalui Jabatan Alam Sekitar juga telah selesai melaksanakan proses pameran awal bagi Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment, EIA) bagi “Cadangan Pembangunan Sebuah Lapangan Terbang Baharu di Pulau Tioman untuk Operasi Penerbangan Kod 4C Yang Berkeluasan 460.50 Ekar, Tioman, Daerah Rompin, Pahang Darul Makmur”.

“Laporan EIA tersebut telah dipamerkan selama 30 hari bermula daripada 21 Jun 2023 hingga 20 Julai 2023. Orang awam telah mengemukakan ulasan awam daripada 21 Jun 2023 sehingga 4 Ogos 2023 (45 hari).

“Sehingga 4 Ogos 2023, sejumlah 1,412 ulasan awam telah diterima. Susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal EIA (EIATRC) yang telah diadakan pada 9 Ogos 2023, kementerian mendapati bahawa cadangan Lapangan Terbang Baharu berpotensi untuk memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya kepada penerima sensitif (sensitive receptor) di sekitar Pulau Tioman termasuklah ekologi marin sekiranya diteruskan,” ujar beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat