Hishammuddin: Tiada Beban Batu Digalas

- Advertisement -

Perubahan kecil dalam kabinet Rabu lalu telah mengangkat Naib Presiden UMNO, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan.

Serentak dengan itu juga Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien diberi tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Keselamatan dan membantu Perdana Menteri dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengangkatan Ismail Sabri sememangnya telah dijangka berikutan kedudukan Barisan Nasional sebagai parti politik kedua terbesar dalam kerajaan.

Walaupun terdapat tanggapan pelantikan ini merupakan usaha terakhir Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatukan kerajaan yang rapuh, namun realitinya sangat jauh berbeza.

Muhyiddin telah lama memaklumkan kepada UMNO bahawa beliau bersedia melantik Timbalan Perdana Menteri dari UMNO sekiranya parti tersebut bersedia menerima sesiapa sahaja dari UMNO untuk jawatan tersebut.

Namun hal ini tidak pernah diselesaikan secara tuntas sehinggalah beberapa hari lalu 35 Ahli Parlimen Barisan Nasional membuat tuntutan terbuka kepada Perdana Menteri agar dilantik Timbalan Perdana Menteri dari kelangan mereka.

Dalam kalangan elit politk, dua nama yang berada dalam pemikiran Muhyiddin ialah Ismail Sabri dan Hishammuddin.

Dari segi kedudukan dalam parti, Ismail Sabri adalah orang paling kanan yang layak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri memandang Presiden UMNO mempunyai kes mahkamah dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan bukan Ahli Parlimen.

Dari segi pengaruh dalam kalangan Ahli Parlimen BN dan PN, Hishammuddin mempunyai pengaruh yang lebih besar. Hishammuddin secara sulit dikatakan mengetuai blok 29 Ahli Parlimen BN pasca PRU-14.

Bekas Menteri Pertahanan ini juga dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin kanan di Sarawak dan juga pemimpin Pas sejak sebelum PRU lagi. Malah sebagai bekas Ketua Pemuda UMNO selama dua penggal dan Naib Presiden UMNO, Hishammuddin mempunyai jaringan yang cukup besar dalam UMNO sendiri.

Namun pemilihan Ismail Sabri sudah pasti bertujuan meredakan gerakan elit politik UMNO yang menggunakan Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagi mewujudkan keadaan tidak stabil kepada kerajaan.

Bagi Hishammuddin yang disebut-sebut antara calon Perdana Menteri selepas ini, penambahan potfolio ini bukanlah satu keuntungan kepada kerjaya politik beliau.

Tanggungjawab beliau sebagai Menteri Luar Negeri mengetuai kluster keselamatan tidak datang dengan sebarang kelebihan atau keistimewaan. Tidak ada pembesaran belanjawan dan bidang kuasa pentadbiran.

Berbanding kementerian lain dalam kluster keselamatan seperti Pertahanan, Dalam Negeri, dan Kesihatan, Kementerian Luar Negeri adalah kementerian paling kecil samada dari segi belanjawan mahu pun kakitangan dalam negara.

Kini dengan kekal di Kementerian Luar, Hishammuddin perlu pula berada dalam Majlis Keselamatan Negara menguruskan hal SOP pandemik dan sebagainya.

Mulai sekarang beban kemarahan, ketidakpuasan hati dan pelbagai permintaan mengenai Pelan Pemulihan Negara perlu beliau ditangani dalam kekangan kedudukan kecil beliau berbanding Ismail Sabri yang mempunyai pasukan besar berdasarkan kedudukannya sebagai Menteri Pertahanan.

Walaupun jawatan Menteri Kanan Keselamatan nampak gah, namun realitinya tiada apa kelebihan baharu kepada Hishammuddin kecuali penambahan skop kerja, tanggungjawab dan risiko politik yang besar.

Menguruskan Pelan Pemulihan Negara tidak mudah ketika beliau mengambil alih jawatan dalam keadaan segala-galanya serba tidak menjadi dan serba tidak kena.

Ini bukanlah salah Ismail Sabri sebagai Menteri Kanan Keselamatan. Ia adalah normal baharu seluruh dunia dalam berhadapan pandemik.

Namun kerana rakyat telah berada dalam keadaan tertekan lebih setahun, ditambah api kebencian ditiup oleh pemimpin UMNO di luar kerajaan, maka kemarahan rakyat sukar diredakan.

Hishammuddin mengambil alih tanggung jawab ini dalam keadaan api kemarahan rakyat telah marak. Beliau ada tanggung jawab besar memastikan api ini dapat diredakan atau berhadapan risiko turut terbakar.

Keadaan Hishammuddin seperti kata pepatah, tiada beban batu digalas.

Jika selama ini Hishammuddin mendapat reaksi positif dengan usaha beliau mendapat sumbangan berjuta dos vaksin Covid-19 dari negara sahabat, memulihkan hubungan diplomatik dengan banyak negara dan membantu misi kemanusiaan ustaz Ebiet Liew, kini beliau mungkin berhadapan satu keadaan yang menyukarkan.

Lebih sukar apabila beliau juga akan diserang oleh para pemimpin politik luar kerajaan yang sebahagiannya merupakan sahabat-sahabat beliau sebelum ini.

Namun kerajaan bergantung kepada kepintaran Hishammuddin menguruskan pandemik ini, seperti mana beliau dijulang sebagai seorang komunikator kerajaan yang cemerlang ketika berhadapan kehilangan pesawat MH370.

Rakyat juga berharap Hishammuddin boleh memberi harapan baharu dalam menguruskan pandemik ini.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat