KUALA LUMPUR – Bank Dunia melihat langkah kerajaan mengurangkan kuota penggunaan petrol bersubsidi di bawah BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan adalah tepat dalam usaha mengurangkan beban fiskal negara.
Ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia Dr. Apurva Sanghi berkata, tindakan itu secara tidak langsung membantu menangani ketirisan subsidi yang selama ini lebih banyak dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi.
“Subsidi petrol di Malaysia bersifat regresif, di mana kumpulan T10 dan T20 menggunakan lebih banyak bahan api berbanding kumpulan berpendapatan rendah.
“Jadi, pengurangan kuota ini memastikan mereka yang menggunakan lebih akan membayar lebih.
“Pendekatan ini lebih bersasar berbanding menaikkan harga petrol secara menyeluruh, yang berpotensi memberi kesan negatif kepada keseluruhan ekonomi,” katanya dalam pembentangan Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) April 2026 di Sasana Kijang pada Khamis.
Menurut Apurva, keadaan ini telah dilihat berlaku di beberapa negara serantau seperti Thailand dan Filipina apabila harga bahan api meningkat secara mendadak.
“Buat masa ini, kerajaan masih mengekalkan harga petrol RON95 sekitar RM1.99 seliter bagi majoriti rakyat, sambil mengawal penggunaan melalui kuota.
“Langkah ini dilihat sebagai usaha menyeimbangkan antara perlindungan pengguna dan kestabilan fiskal. Namun begitu, persoalan utama adalah sejauh mana kerajaan mampu mengekalkan pendekatan ini dalam jangka panjang.
“Sekiranya tekanan fiskal meningkat, beberapa pelarasan mungkin perlu dilakukan, termasuk pengurangan kuota selanjutnya atau kenaikan harga bahan api secara berperingkat,” katanya menurut Utusan.
Dari sudut fiskal, jelasnya, defisit negara telah berjaya dikurangkan kepada sekitar 3.6 peratus berbanding melebihi enam peratus semasa krisis terdahulu.
“Penambahbaikan ini sebahagiannya disumbang oleh peningkatan hasil cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“Walau bagaimanapun, kebergantungan kepada hasil berkaitan komoditi dan SST sahaja bukanlah strategi mampan untuk jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menyatakan bahawa Malaysia tidak memerlukan pakej rangsangan ekonomi baharu buat masa ini memandangkan keadaan ekonomi negara masih berada pada landasan kukuh dengan pertumbuhan stabil dan inflasi terkawal.
Apurva berkata, pakej rangsangan ekonomi bukan saja tidak diperlukan ketika ini, malah boleh meningkatkan tekanan inflasi.
“Pakej rangsangan biasanya diperlukan apabila ekonomi berdepan risiko kemelesetan seperti ketika pandemik COVID-19. Namun ketika ini, pertumbuhan masih kukuh dan inflasi berada dalam keadaan terkawal,” katanya.
Mengulas lanjut, Apurva berkata, perangkaan semasa menunjukkan inflasi Malaysia kekal stabil sepanjang dua hingga tiga tahun lalu walaupun ekonomi berkembang lebih pantas berbanding purata serantau.
Beliau menjelaskan keadaan pertumbuhan kukuh di samping kadar inflasi yang rendah adalah satu keadaan yang dianggap sebagai ‘sweet spot’ dalam ekonomi.
Selain itu, katanya, permintaan domestik yang kukuh, khususnya perbelanjaan pengguna, terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh pasaran buruh yang stabil serta peningkatan gaji benar.
Dalam masa sama, Apurva berkata, kadar pengangguran negara kini berada pada paras terendah dalam tempoh 14 tahun, di bawah 3.0 peratus, sekali gus mencerminkan kekuatan asas ekonomi domestik.
Walaupun begitu, beliau berkata, kerajaan masih perlu berwaspada terhadap risiko luaran seperti konflik geopolitik dan kenaikan harga komoditi global yang boleh memberi kesan tidak langsung kepada inflasi dan pertumbuhan.
Buat masa sekarang, pendekatan terbaik adalah mengekalkan dasar fiskal berhemah serta memberi tumpuan kepada pembaharuan struktur ekonomi bagi memastikan pertumbuhan mampan dalam jangka panjang, katanya.



