Kerajaan lulus penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara, minimumkan risiko bencana – Zahid

KUALA LUMPUR – Kabinet telah meluluskan penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara (MPBN) sebagai langkah penting dalam memperkukuh tadbir urus pengurusan bencana dan pengurangan risiko bencana negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan ini menandakan satu anjakan besar daripada kerangka yang sebelum ini lebih bersifat teknikal dan berasingan, kepada satu sistem yang lebih menyeluruh, bersepadu dan dipacu terus oleh kepimpinan tertinggi negara.

“Cadangan penubuhan MPBN ini telah saya lontarkan dan diperhalusi dalam Mesyuarat Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) terdahulu, selaras dengan hala tuju Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030, yang telah saya lancarkan pada tahun 2024.

“Saya melihat keputusan ini sebagai satu langkah ke hadapan yang amat signifikan. Dalam suasana dunia yang semakin tidak menentu, dengan perubahan iklim yang menjadikan bencana lebih kerap dan lebih kompleks, negara tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan lama yang bersifat reaktif dan berasingan.

“Kita memerlukan satu struktur yang membolehkan keputusan strategik dibuat dengan lebih pantas, penyelarasan dilaksanakan dengan lebih berkesan, dan tindakan di lapangan digerakkan tanpa kelompongan antara Persekutuan dengan negeri,” kata Zahid dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi, MPBN akan menghimpunkan Menteri-Menteri Persekutuan yang berkaitan melibatkan Menteri Besar, Ketua Menteri dan pengurusan tertinggi Kerajaan dalam satu platform tertinggi negara bagi pengurusan bencana.

Kata Zahid, melalui mekanisme ini, keputusan dapat dipercepatkan, penyelarasan diperkemas dan pelaksanaan di lapangan dapat digerakkan dengan lebih tersusun.

“Penubuhan MPBN juga mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk beralih daripada pendekatan tindak balas selepas bencana kepada pendekatan yang memberi penekanan lebih besar kepada kesiapsiagaan, pencegahan dan pengurangan risiko bencana. Kita bukan sahaja mahu bertindak apabila musibah berlaku, tetapi memastikan negara lebih awal bersedia, risiko dapat diminimumkan, dan impaknya terhadap nyawa rakyat, harta benda serta ekonomi negara dapat dikurangkan sebaik mungkin.

“Pada masa yang sama, penstrukturan baharu ini turut memperkukuh peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai agensi peneraju utama, termasuk dari segi kapasiti, kepakaran dan keupayaan operasi, agar keseluruhan sistem ini dapat berfungsi secara efektif di semua peringkat.

“Selain itu, usaha memperkukuh penyelarasan pengurusan bencana di peringkat negeri juga amat penting. Keupayaan bertindak balas secara pantas dan tersusun di peringkat negeri serta daerah merupakan antara penentu utama keberkesanan pengurusan bencana.

“Justeru, hubungan kerja yang lebih rapat, jelas dan berfokus antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri perlu terus diperkasa agar keseluruhan rantaian pengurusan bencana negara benar-benar bergerak sebagai satu pasukan.

“Insya-Allah, langkah ini akan meletakkan asas yang lebih kukuh untuk Malaysia menghadapi cabaran bencana masa hadapan dengan tadbir urus yang lebih baik, penyelarasan yang lebih cekap, dan tindakan yang lebih berkesan demi melindungi rakyat serta kepentingan negara,” ujar Zahid.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat