Maya rujuk pakar kesihatan mental

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jantung berdebar, perut kosong dan tidak cukup rehat menjadi punca aktres jelita, Maya Karin, 43, terkena serangan panik ketika melaksanakan tanggungjawab sebagai penyampai trofi pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-32 di Melaka, Jumaat lalu.

Insiden mencemaskan itu berlaku ketika Maya mengumumkan pemenang kategori Pelakon Lelaki Terbaik bersama aktor, Faizal Hussein hingga penonton yang menyaksikan siaran langsung itu dapat mendengar suara aktres itu bergetar agak ketara.

Berkongsi pengalaman itu, bintang filem Pontianak Harum Sundal Malam ini mengakui dapat merasakan keadaan kurang enak dalam tubuh sebelum menaiki pentas.

Namun, enggan menyusahkan penganjur, Maya berusaha menyempurnakan tanggungjawabnya itu agar malam kemuncak FFM32 sempurna.

“Sebelum naik pentas, saya beritahu Faizal badan rasa tidak enak. Tetapi Faizal yakinkan semuanya okay kerana saya adalah Maya Karin.

“Sebaik naik ke pentas, kaki saya mula longgar. Rasa sensasi itu kemudian naik ke perut, dada, tekak dan seterusnya kepala. Bimbang terjatuh kerana badan tidak seimbang, saya segera menanggalkan kasut dan langsung tidak fikir apa-apa.

“Otak saya tidak berfungsi dengan baik ketika itu. Secara tidak sedar, saya sudah memalukan diri sendiri,” katanya kepada BH Online.

FFM32 yang mengangkat filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah sebagai Filem Terbaik disiarkan secara langsung TV2 dari Encore Theater, Melaka, Jumaat lalu.

Maya berkata, ketika Faizal bergerak ke tengah pentas bagi menyampaikan trofi kepada Pelakon Wanita Terbaik, Tan Chui Mui, dia hanya berdiri kaku dan tidak sabar menanti Faizal kembali ke sisi.

“Ketika Faizal ke tengah pentas, saya berdiri tegak seperti robot kerana bimbang akan tumbang jika bergerak.

“Sebaik Faizal berdiri di sebelah, saya terus menanggalkan kasut tumit tinggi lima inci sambil berpaut di lengan Faizal. Saya tidak mampu mencabut kasut sendiri dalam keadaan panik. Saya berterima kasih kepada Faizal kerana dia sangat memahami dan memegang saya ketika membuat pengumuman pemenang.

“Faizal turut bertanya apakah saya masih mahu ke tengah pentas menyampaikan trofi. Saya pilih untuk melakukannya. Saya fikir takkan hendak biarkan pemenang terpinga-pinga di tengah pentas biarpun saya yakin Faizal akan membantu jika saya meminta dia berbuat demikian,” katanya.

 

Maya terkena serangan panik ketika mengumumkan pemenang kategori Pelakon Lelaki Terbaik bersama Faizal hingga penonton menyaksikan siaran langsung FFM32 dapat mendengar suaranya bergetar. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif
Maya terkena serangan panik ketika mengumumkan pemenang kategori Pelakon Lelaki Terbaik bersama Faizal hingga penonton menyaksikan siaran langsung FFM32 dapat mendengar suaranya bergetar. – Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif

 

Disebabkan mental dan fizikalnya yang tidak stabil, Maya terlupa kasut tumit tingginya ketika bergegas turun dari pentas.

Sebaik berada di belakang pentas, Maya segera meminum air dan menenangkan diri untuk beberapa minit sebelum bergegas pulang ke Kuala Lumpur.

“Saya beritahu pembantu peribadi, saya tidak mahu singgah makan atau pulang ke hotel. Sebaliknya, saya mahu segera pulang ke rumah pada malam itu untuk tenangkan diri.

“Walaupun serangan panik sudah berkurangan, namun rasa trauma masih ada dan mengambil masa sehari untuk hilang,” katanya.

Maya yang sudah empat tahun berdepan masalah serangan panik berkata, jadual kerja terlalu sibuk mungkin menyebabkan situasi itu sering dihadapi,

Maya berkata, sebelum ini dia selesai menjalani penggambaran dua filem yang memerlukannya berulang alik antara Perlis dan Kedah.

Selepas itu, Maya ‘terbang’ pula ke Amerika Syarikat (AS) selama tiga minggu disusuli menyiapkan tugasan di Bangkok, Thailand.

“Mungkin kerana saya terlalu sibuk bekerja hingga tidak cukup rehat menjadi punca serangan panik mudah melanda. Ada masa saya sampai terlupa hotel didiami dan pernah apabila terbangun dari tidur, saya terkejut memikirkan bila masanya saya sudah sampai di rumah.

“Mungkin badan saya memberi isyarat sudah terlalu penat. Bukan sahaja mental, malah, fizikal turut terjejas. Jadi, saya mempertimbangkan untuk berehat selepas ini,” katanya.

Ditanya adakah dia menjalani rawatan menangani masalah kesihatan mental, aktres kacukan Melayu-Jerman itu mengakui mungkin sudah tiba masanya untuk dia berbuat demikian.

“Sebelum ini, saya hanya menangani masalah itu secara sendirian. Saya amalkan minum teh herba atau berjalan kaki selama sejam bersama jiran.

“Tetapi, mungkin selepas ini, saya akan pertimbang untuk mendapatkan rawatan sesuai atas saranan teman yang tidak mahu saya terus membiarkan masalah serangan panik membelenggu diri saya,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat