Putrajaya mandi cahaya

- Advertisement -

Menjelang malam, suasana di sekitar Taman Putra Perdana, Presint 1, Putrajaya bagaikan di alam fantasi.

Taman berkenaan disinari pencahayaan lampu diod pemancar cahaya (LED) berwarna-warni itu, sekali gus mewujudkan suasana umpama ‘ Secret Garden’ yang mempunyai banyak ruang untuk diterokai.

Taman Cahaya yang juga dikenali sebagai Secret Garden itu adalah antara tarikan terkini di Putrajaya.

Sebelum ini, pusat pentadbiran negara itu terkenal dengan keunikan seni bina rekaan bangunan dan jambatan, pelbagai tempat rekreasi seperti Pantai Floria, taman indah serta Tangga Putrajaya.

Memang menyeronokkan kerana terdapat pelbagai dekorasi hiasan lampu LED warna warni yang menerangi sekitar taman berkenaan.

Lampu LED juga dipasang pada pokok dan rumput di taman itu bagi meningkatkan keceriaan pada malam hari.

Terdapat juga arca berbentuk Dinosaur dan Pintu Gerbang Love yang menjadikan taman itu lebih menarik untuk dikunjungi bersama seisi keluarga.

Bukan itu saja, terdapat juga air pancut berlampu di sekitar taman berkenaan.

Jika berjalan terus ke sebelah belakang, anda juga akan dapat lihat Mercu Tanda Putrajaya yang berupa seakan Tanjak atau Tengkolok dan Tangga Putrajaya.

 

POKOK dan rumput yang dihiasi pencahayaan lampu LED.
POKOK dan rumput yang dihiasi pencahayaan lampu LED.

 

Secara keseluruhan, kawasan taman rahsia itu memang sesuai untuk mereka yang ingin bersantai bersama seisi keluarga, kaki bergambar serta lokasi rekreasi pada malam hari.

Bagi yang masih tertanya-tanya di mana lokasi sebenar ‘taman rahsia’ itu, ia terletak di pintu masuk ke Taman Putra Perdana Presint dan berhadapan dengan Hotel Pulse Grande.

Untuk ke sana, pengunjung boleh melalui bulatan besar (Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah) dan kemudian memasuki Jalan Taman Putra Perdana.

Memang mudah untuk ke taman rahsia itu dan ia juga memiliki banyak kemudahan asas termasuk tandas dan tempat letak kereta awam.

 

ANTARA kemudahan menarik untuk bergambar yang disediakan kepada pengunjung.
ANTARA kemudahan menarik untuk bergambar yang disediakan kepada pengunjung.

 

Namun, harus diingat, kawasan taman itu biasanya agak sesak dengan pengunjung pada malam hujung minggu atau cuti umum, jadi rancang perjalanan anda bagi mengelakkan kesesakan.

Jika perut terasa lapar, pengunjung juga boleh menjamu selera di gerai jualan makanan ringan yang disediakan di kawasan berdekatan.

Pengunjung, Noor Laili Mohd Noor, 39, berkata, dia dan rakan serumahnya tidak mahu ketinggalan untuk menikmati keindahan lampu yang berwarna-warni.

Katanya, meskipun tinggal berhampiran Putrajaya, namun sebelum ini dia tidak berkesempatan untuk mengunjunginya kerana kekangan kerja.

“Mujurlah saya datang agak awal hari ini kerana pada malam minggu, pengunjung biasa agak ramai dan tempat letak kereta juga penuh.

 

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan.

 

“Apapun, memang cantik suasana taman ini di waktu malam, sesuailah jika ia digelar Secret Garden kerana kami terpukau seolah-olah berada di alam fantasi yang mengujakan,” katanya.

Pelajar universiti awam, Rahman Nur Solehin, 22, pula berkata, dia bersama rakan sekuliah sering berkunjung ke taman itu sejak ia mula dibuka beberapa bulan dahulu.

Selain untuk bersantai, katanya, dia dan rakannya juga seronok dapat berjoging pada waktu malam di kawasan sekitar yang diterangi lampu berwarna-warni.

“Dari segi kemudahan asas, saya rasa memang sudah mencukupi tetapi jika dapat ditambah lebih banyak bangku untuk pengunjung berehat, rasanya lebih baik.

“Papan tanda untuk melarang pengunjung daripada menyentuh hiasan lampu dan arca juga perlu diletakkan di banyak kawasan sebagai peringatan kerana ada yang begitu teruja hingga mengabaikan keselamatan.

“Jika ada peluang, saya mahu membawa keluarga dari kampung pula selepas ini,” katanya.

Jadi, andai mahu meluangkan masa seharian beriadah di Putrajaya, pastikan hari anda berakhir di taman rahsia itu yang menawarkan pengalaman menarik untuk seisi keluarga.

Kunjungan anda pasti berbaloi kerana taman fantasi itu dibuka secara percuma kepada pengunjung.

 

Secret Garden yang kini menjadi tarikan terbaharu di pusat pentadbiran Putrajaya.
Secret Garden yang kini menjadi tarikan terbaharu di pusat pentadbiran Putrajaya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,454FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat