Keshi bukti kemampuan

- Advertisement -

Penangan karya muzik penyanyi Keshi di seluruh dunia tidak disangkal sangat luar biasa. Kini, dia menjadi penyanyi generasi baharu yang benar-benar bersinar dan segar corak muziknya.

Keshi atau nama sebenarnya Casey Luong, 28, paling digilai dalam kalangan pendengar muda atau popular dipanggil golongan millennial. Tanya saja generasi sekarang, pasti mengenali penyanyi keturunan Vietnam warga Amerika Syarikat (AS) ini.

Buktinya, sewaktu kunjungan mengadakan konsert dua hari di Malaysia baru-baru ini, rata-rata yang hadir adalah remaja seusia atau lebih muda. Konsert Keshi: Live in Kuala Lumpur itu dihadiri lebih 6,000 peminat.

Hakikatnya, pemuda yang memulakan karier muzik sejak 2017 itu cukup berbesar hati akhirnya dapat jejak ke Malaysia. Katanya, dia tahu peminat di Asia antara yang sentiasa menjadi kegemarannya.

“Sudah lama rasanya impian saya untuk ke Asia tertunda. Namun kini, ia menjadi kenyataan untuk berada di sini. Terima kasih buat kamu semua yang hadir, saya sangat tersentuh,” katanya.

Menyentuh mengenai persembahan secara langsungnya, memang aura penghiburnya di pentas cukup dirasai. Menampilkan elemen minimal, kekuatan ketaranya tidak lain pada aspek muzikal.

Terutama, aspek vokal yang bukan semua penyanyi muda boleh kuasai dengan cemerlang. Ada yang kedengaran kurang padu apabila menyanyi secara langsung berbanding dalam rakaman.

Tapi Keshi membuktikan sebaliknya kerana mutu nyanyiannya pada malam itu benar-benar bagus. Setiap butiran lirik disebutnya jelas dan menepati nada muzik tanpa perlu dipaksa.

Bagi peminat setianya, pasti tahu aliran muzik karya Keshi juga antara faktor kenapa dia berada di liga tersendiri. Konsep muzik R&B dan alternatif yang menjadi nadi karya serta nyanyiannya juga segar.

 

KESHI memang penghibur serba boleh.
KESHI memang penghibur serba boleh.

 

Elemen R&B padanya paling menebal menerusi nyanyian. Kemampuannya menyanyi nada falsetto begitu cemerlang dan penonton malam itu bersorak riang sebaik Keshi mengalunkan vokalnya pada setiap lagu.

Demikian juga kemampuannya bermain pelbagai instrumen menjadikan dia penghibur serba-boleh. Baik memetik gitar hingga bermain keyboard, segalanya dilakukan dengan bersahaja tapi hasilnya sangat memuaskan telinga.

Daripada segi pementasan pula, ‘mood’ malap sepanjang konsert berdurasi hampir dua jam itu juga pendekatan menarik. Ia seolah menterjemahkan keperibadian Keshi sebagai pemuzik yang sarat emosi mendalam.

Penonton juga seakan-akan terbuai dengan ‘mood’ begitu dalam pada tidak henti menyanyi bersama lagu-lagu Keshi. Momentum perjalanan konsertnya rapi, tambahan pula lagu dipersembahkan memang penonton tahu.

Demi jadikan malam itu bermakna juga, Keshi sempat meminta penonton agar berhenti merakam sewaktu mendendangkan lagu tertentu. Dia menyuruh semua nyalakan lampu telefon agar suasana jadi berkilau.

Secara keseluruhannya, amat ketara bahawa Keshi ternyata seorang penghibur yang akan bertahan lama. Mungkin kerana laluannya ke tahap ini juga menjadikan semangatnya untuk maju melebih segala-galanya.

Siri jelajah Asia yang dijalankan sekarang menjadi pembuka jalan Keshi untuk terus meraih kepercayaan peminat. Dengan persembahan padu di setiap konsert, siapa mampu menidakkan pesona penyanyi terbabit.

Pada malam itu, Keshi mempersembahkan hampir 20 lagu yang merangkumi karya dihasilkan sejak dia masih belum mencipta nama suatu ketika dulu lagi.

Antaranya Get It, Somebody, Beside You, Like I Need U, Westside, Less of You, Touch, Milli, Drunk, Understand, skeletons, Hell/Heaven, Angostura, Right Here, Limbo, Angel, Gabriel, Us dan 2 Soon.

Konsert anjuran Livenation itu awalnya cuma diadakan sehari iaitu pada 3 Disember. Bagaimanapun, ia ditambah sehari lagi berikutan sambutan pembelian tiket yang sangat luar biasa.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat