Tetap berkarya dalam era pandemik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Soal medium tayangan filem bukanlah masalah besar, malah sebahagian pembikin filem tidak berputus asa terus berkarya demi pembangunan industri perfileman tanah air.

Biarpun sudah hampir dua tahun pawagam buka dan tutup operasi, malah, kebanyakan kutipan filem ketika ini kurang memberangsangkan biarpun panggung wayang sudah dibuka, namun, tidak membantutkan usaha pembikin filem menghasilkan karya untuk tontonan ramai.

Pengarah filem Geran, Areel Abu Bakar tidak melihat soal medium tayangan sebagai masalah besar kepada penggiat filem.

Areel berkata, sama ada di pawagam atau platform digital, bukanlah suatu masalah untuk filem diterima.

Baginya, apa yang penting adalah mesej yang disalurkan dalam naskhah dapat disampaikan kepada penonton.

Areel tetap menghasilkan karya terbaharunya berjudul Pungut dalam era pandemik.
Areel tetap menghasilkan karya terbaharunya berjudul Pungut dalam era pandemik.

 

“Pada saya, filem bukan sekadar bahan hiburan semata-mata. Filem perlu ada mesej yang perlu disampaikan kepada penonton.

“Justeru, saya lebih fokus kepada memberi mesej kepada penonton. Sama ada penonton suka atau tidak, kita kena bagi suka. Ini adalah tanggungjawab kita sebagai pembikin filem.

“Perbezaan sama ada ditayangkan di pawagam ataupun penstriman adalah dari segi mood penonton sahaja. Kalau tonton di layar gergasi, perasaan berbeza berbanding tonton di kaca televisyen (TV),” katanya yang bakal muncul dengan filem baharu berjudul Pungut.

Bagi penerbit Pencil Pictures, Datuk Ayu Puteh, biarpun kutipan tayangan filem di panggung wayang kurang memberangsangkan, dia mahu terus berkarya.

“Keberanian dan keyakinan menghasilkan filem datang daripada minat dan kesabaran kita. Saya minat berkarya dalam industri, soal berani atau tidak, bukanlah isu.

“Apa yang penting bagi saya, setiap kali kita mahu buat filem, kita ‘lompat’ sahaja.

“Apabila sudah siap nanti, kita tahulah hendak hantar ke mana. Kalau tunggu ekonomi dan kutipan bagus baru hendak buat filem, kita akan ketinggalan… Orang lain akan buat filem dahulu,” kata penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa ini.

 

Ayu bersama barisan pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa menanti tayangan filem seterusnya berjudul Autumn In Wales #MenantuMakAwak.
Ayu bersama barisan pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa menanti tayangan filem seterusnya berjudul Autumn In Wales #MenantuMakAwak.

 

Bagi Ayu, filem wajib ditayangkan di panggung wayang sebelum ditayangkan saluran lain.

“Tidak kira orang tengok atau tidak, apa yang penting filem kita sampai ke panggung wayang. Kalau pergi ke stesen TV, kita pilihlah stesen mana yang lebih menghargai kerja kita.

“Ada saluran yang membayar kita pada kadar yang seolah-olah menghina. Jadi, kita pun perlu menggunakan akal. Kalau kita hargai karya kita, janganlah terima karya kita ditayangkan di saluran terbabit,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan menerbitkan filem baharu dalam masa terdekat, Ayu berkata, pasukan produksi sudah menyiapkan filem Autumn In Wales #MenantuMakAwak yang hanya menunggu masa tayangan.

“Filem itu sudah siap sepenuhnya, tunggu masa sahaja keluar panggung wayang. Selepas itu, barulah kita pergi ke saluran lain.

“Bagi saya, peminat filem tetap menonton di panggung wayang. Kutipan tidak banyak disebabkan prosedur operasi standard (SOP). Kalau tiada SOP, sudah tentu orang akan pergi tengok.

“Sekarang ini kita tidak boleh mengharapkan kutipan filem tinggi disebabkan pandemik COVID-19,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat