Rahmat yang diharapkan rakyat dari kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mungkin akan mencetuskan satu mala petaka politik yang baharu.
Sesetengah pemimpin Umno di luar kerajaan ghairah merencana dan menyusun gerakan agar akar umbi menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Dewan Rakyat secepat mungkin bagi diadakan satu Pilihan Raya Umum (PRU) yang lebih cepat.
Benar ada sebahagian pucuk pimpinan Umno kecewa kerana mereka tidak berada dalam kerajaan. Dan yang bergelut kes mahkamah melihat kemenangan tunggal BN dalam PRU akan datang akan membolehkan mereka mengambil alih tampuk kepimpinan negara.
Ada pemimpin Umno yang bekerjasama dengan Anwar Ibrahim tidak peduli parti kalah atau menang asalkan PRU dapat diadakan. Dalam perkiraan mereka PN tidak akan menang. Hanya BN atau PH akan menang. Jika BN menang mereka akan menjadi anggota kabinet. Jika parti kalah, mereka ada Anwar Ibrahim untuk menyelamatkan tengkuk mereka.
Ahli Umno ditipu sekali lagi?
Ahli Umno yang ghairah mahu mengadakan PRU awal adalah kumpulan yang terpedaya dengan dakwaan para pemimpin berkepentingan bahawa sokongan rakyat telah kembali kepada BN.
Sebagaimana mereka ditipu oleh pemimpin Umno dengan janji menang 2/3 dalam PRU-14, demikianlah mereka terbuai-buai dengan janji manis akan mengulangi kemenangan PRN Melaka dalam PRU akan datang.
Berapa ramai ahli Umno sedar bahawa kemenangan 2/3 BN dalam PRN Melaka sebahagian besarnya kerana faktor keluar mengundi yang rendah. Dua kumpulan utama yang tidak menyokong BN iaitu pengundi Cina dan pengundi muda luar tidak keluar membuang undi kali ini.
Hanya 65.85% keluar mengundi kali ini berbanding 84.52% pada 2018.
Dalam PRU-14, PH mendapat undi popular sebanyak 211,153, BN mendapat 156,318 undi dan Pas mendapat 44,537.
Dalam PRN Melaka 2021, BN mendapat BN122,741 undi popular berbanding PH 114,457 undi popular berbanding Perikatan Nasional (PN)/PAS mendapat 77,731 undi. Satu-satunya parti yang meningkat sokongan ketika ini adalah PN.
Apa yang berlaku dalam PRN Melaka ialah perubahan undi popular PH kepada PN dan jumlah keluar mengundi yang sedikit menyebabkan BN meraih kemenangan besar.
Dari segi jumlah undi popular yang diraih oleh BN, ia merosot sebanyak 33, 577 undi. Sudah tentu perubahan undi sebanyak ini untuk 28 kawasan Dun adalah perkara biasa. Namun ia juga menunjukkan mitos sokongan telah kembali kepada Umno/BN adalah tidak benar.
Tidak ada gelombang yang menunjukkan ada peralihan sokongan dari PH dalam PRU 2018 kepada BN dalam PRN 2021.
Malahan pengundi tidak berparti masih tunggu dan lihat siapa yang harus diberi kepercayaan dalam PRU akan datang.
Penolakan pengundi terhadap kepimpinan Umno?
Jika dilihat dari PRN Melaka, bukan sahaja pengundi atas pagar belum sanggup turun mengundi BN, malah terdapat penolakan jelas dari penyokong Umno kepada pimpinan atasan parti di negeri itu.
Ambil contoh Pengerusi Perhubungan Umno negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yussuf. Dilihat sebagai orang kuat kepimpinan Umno Pusat, beliau hanya menang dengan 364 undi berbanding majoriti BN pada tahun 2018 sebanyak 2684 undi. Walaupun jumlah keluar mengundi 2021 kurang 1,278 berbanding tahun 2018, namun jumlah majoriti berkurangan jauh lebih besar dari itu.
Demikian juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali yang tewas di Sungai Udang.
Sebaliknya, calon-calon BN yang menang selesa ialah terdiri daripada muka baharu dan tidak terkait dengan kepimpinan Umno Pusat.
Di mana janji Undi BN untuk Kestabilan?
Salah satu daripada janji BN dalam PRN Melaka ialah membawa kestabilan kepada politik negara. Namun bagaimana mereka hendak meyakinkan pengundi dalam PRU bahawa BN akan membawa kestabilan politik sekiranya, Umno sendiri memporak-perandakan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.
Pada masa ini jelas usaha hendak menjatuhkan kerajaan ini bukan oleh DAP, PKR, Bersatu atau Pas tetapi dari pucuk pimpinan Umno yang ghairah mahu berkuasa sepenuhnya di peringkat persekutuan.
Umno harus belajar bersabar dan membaca sentimen rakyat. Walaupun rakyat menyampah dengan PH, namun mereka juga akan menyampah dengan BN jika Umno mahu memaksa diadakan PRU dalam masa terdekat ini.
Jangan kerana tidak ramai keluar mengundi dalam PRN Melaka maka kita berharap trend yang sama berlaku dalam PRU. Rakyat apabila sakit hati sukar dijangka.
Mendesak diadakan PRU dengan mengharapkan rakyat yang tidak sokong BN tidak keluar mengundi atas faktor Covid-19 dan bosan dengan karenah politik adalah satu risiko yang sangat merbahaya.
Ia sama dengan tindakan mengadakan hari pengundian PRU-14 pada hari Rabu (hari bekerja) sehingga menimbulkan persepsi BN tidak mahu pengundi muda pulang mengundi. Hasilnya menyebabkan wujud gelombang kebencian dan semangat untuk pulang mengundi demi mengajar BN ketika itu.
Dalam keadaan imej Umno dan BN agak baik, tidak wajar Umno-Umno Bahagian mengadakan usul diadakan PRU lebih awal. Ia hanya menyebabkan rakyat menyampah dengan Umno dan melihat Umno sebagai parti yang rakus dan meletakkan kepenting puak melebihi kepentingan rakyat.
Beri peluang kepada Ismail Sabri
Pemimpin Umno sering mendakwa perjuangan mereka untuk parti dan rakyat bukan diri sendiri. Kini adalah peluang mereka membuktikan sama ada benar air mata, doa dan kesedihan untuk perjuangan itu sesuatu yang real atau sekadar sandiwara media sosial.
Jika perjuangan demi rakyat dan parti, tentulah dalam keadaan Umno telah kembali menjadi kerajaan, tidak ada sebab untuk diadakan PRU lebih awal.
Dalam masa yang sama Belanjawan 2022 baharu sahaja diluluskan dan hanya akan mula dilaksanakan pada awal tahun hadapan. Banyak kebaikan dalam belajanwan ini untuk rakyat dan negara. Jadi biarlah ia dilaksanakan terlebih dahulu dan diukur kemampuan Ismail Sabri menerajui negara.
Pemimpin Umno tidak seharusnya terlalu kufur nikmat. Daripada sebuah parti yang kalah, anda kini telah menjadi sebahagian dari kerajaan. Doa mahu menjatuhkan DAP telah makbul. Doa mahu kembali menjadikan Umno peneraju kerajaan juga telah dimakbulkan.
Sekarang hanya kerana tamak dan tidak mahu berkongsi kuasa, ada yang sanggup mengorbankan sebuah kerajaan untuk diadakan PRU lebih awal.
Rakyat mungkin berasa hairan mengapa PH yang menang PRU pun sanggup menangguhkan sebarang usaha menjatuhkan kerajaan sehingga Julai 2022, tetapi Umno yang kalah dalam PRU dan kini menjadi kerajaan, berusaha keras mengadakan PRU awal.
Kita akan melihat dalam mesyuarat bahagian-bahagian Umno minggu hadapan akan ada usul mendesak PRU lebih awal.
Adilkah untuk rakyat?