Covid-19 Lumpuhkan Ekonomi Dunia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR Ketika p:enduduk dunia meraikan ketibaan tahun baharu 2020, tidak ramai yang mungkin dapat membayangkan bahawa satu penyakit berjangkit yang meragut nyawa bakal melanda ke seluruh dunia, mengancam kesihatan dan menyebabkan kerajaan-kerajaan terpaksa mengambil langkah-langkah dan tindakan dasar yang luar biasa bagi memulihkan semula ekonomi.

Dianggap sebagai krisis ekonomi terburuk sejak Kemelesetan Besar pada 1930-an, pandemik COVID-19 telah menyebabkan ekonomi seluruh dunia terjejas teruk, pasaran saham jatuh merudum, kadar pengangguran melonjak ke paras tertinggi yang kali terakhir di lihat pada era 1900-an dan beribu-ribu lagi perniagaan terpaksa menutup operasi mereka.

Manakala impak bagi rakyat biasa pula, langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan seawal Mac telah mencetuskan belian panik di seluruh dunia apabila orang ramai bergegas ke pasar raya terdekat untuk membeli barangan penting seperti kertas tandas dan makanan dalam tin untuk dijadikan sebagai simpanan, mengosongkan rak-rak barangan yang kelihatan seolah-olah seperti babak dalam filem bencana.

Ini sudah semestinya bukan Wawasan 2020 seperti yang kita harapkan.

Impak ke atas dua ekonomi terbesar dunia China dan Amerika Syarikat

Apabila China buat pertama kalinya mengesan virus COVID-19 pada lewat Disember 2019, langkah-langkah kuarantin ketat dikenakan pada 23 Jan di beberapa wilayah, terutamanya Wuhan, titik awal bermulanya pandemik itu untuk membendung penularannya.

Krisis yang disebabkan oleh coronavirus itu telah menyebabkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) China menguncup 6.8 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2020, merekodkan penurunan pertamanya sejak 1992. Berjuta-juta orang juga kehilangan pekerjaan akibat penularan pandemik itu.

Bagi memulihkan pertumbuhan ekonominya, Perdana Menteri China Li Keqiang mengumumkan pada Mei kerajaan akan menyuntik pakej rangsangan fiskal bernila 3.6 trilion yuan (RM2.24 trilion). Dan langkah-langkah itu nampaknya telah berjaya.

Sebagai negara yang menerajui jumlah kes COVID-19 global dengan kes harian meningkat lebih 15,000 pada 12 Feb, China berjaya bangkit semula apabila ekonominya kembali mencatatkan pertumbuhan positif 3.2 peratus pda suku kedua dan 4.9 peratus pada suku ketiga.

Bagaimanapun, kerajaan China memutuskan untuk tidak menetapkan sasaran pertumbuhan KDNK bagi tahun 2020 berikutan ketidakpastian memandangkan pandemik itu masih lagi aktif dan ini merupakan kali pertama China tidak menetapkan sebarang sasaran sejak rekod bermula pada 1990-an.

Pada masa laporan ini, jumlah kes COVID-19 China adalah sebanyak 93,562 kes dengan 4,746 kematian dilaporkan.

Namun, berbeza pula dengan nasib sebuah lagi kuasa ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat (AS) yang masih sedang bergelut untuk menangani lonjakan kes COVID-19 pada hari ini.

AS merupakan negara yang memiliki jumlah kes dan kematian akibat COVID-19 paling tinggi di dunia dengan 14.75 juta kes yang disahkan dan telah meragut lebih 286,000 nyawa.

KDNK negara itu susut lima peratus pada suku pertama dan jatuh sebanyak 31.4 peratus pada suku kedua, merekodkan penguncupan paling teruk sejak 1947, manakala kadar penganggurannya juga melonjak kepada 14.7 peratus pada April daripada 10.3 peratus pada Mac, mencatatkan kenaikan terbesar sepanjang bulan sejak 1948.

Selepas kerajaan menyuntik bantuan COVID-19 bernilai lebih US$3 trilion (RM12.19 trilion) untuk menyokong perbelanjaan pengguna, KDNK negara itu akhirnya mencatatkan pemulihan semula yang kukuh dengan meningkat sebanyak 33.1 peratus pada suku ketiga.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dalam laporan Tinjauan Ekonomi Dunia terbaharunya yang dikeluarkan pada Oktober menjangkakan ekonomi AS menyusut sebanyak 4.3 peratus pada 2020 dan mencatatkan pertumbuhan 3.1 peratus pada 2021.

IMF juga mengunjurkan KDNK global 2020 menguncup 4.4 peratus dan dijangka melantun semula dengan pertumbuhan 5.2 peratus tahun depan.

KDNK suku kedua terburuk Malaysia sejak Krisis Kewangan Asia

Dalam negara, sejak Malaysia melaporkan tiga kes pertama disahkan COVID-19 pada 25 Jan, 2020, kes positif telah meningkat kepada lebih 72,000.

Sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global, Malaysia telah menerima impak daripada virus tersebut apabila langkah-langkah sekatan pergerakan yang drastik seperti penutupan pintu sempadan, larangan perjalanan, kuarantin dan sekatan waktu operasi perniagaan telah dilaksanakan di seluruh dunia.

Apabila Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari di seluruh negara mulai 18 Mac, pelbagai sekatan telah dilaksanakan, termasuk larangan pergerakan dan perhimpunan secara besar-besaran di seluruh negara serta premis perniagaan ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barang keperluan harian.

Perintah sekatan pergerakan telah memberi impak kepada ekonomi, menyebabkan pertumbuhan ekonomi lembap sebanyak 0.7 peratus pada suku pertama 2020 berbanding 4.5 peratus pada suku pertama 2019.

Ekonomi terjejas teruk pada suku kedua 2020 apabila KDNK menguncup 17.1 peratus (pertumbuhan 4.9 peratus pada suku kedua 2019), mencatatkan prestasi terburuk sejak krisis kewangan Asia pada 1998 apabila KDNK pada suku keempat tahun tersebut susut 11.2 peratus.

Selain daripada prestasi KDNK, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia IHS Markit, petunjuk kedudukan ekonomi untuk sektor pembuatan turut merosot kepada 31.3 pada April 2020 daripada 48.4 pada Mac 2020, berikutan sentimen terjejas oleh impak COVID-19, trend yang dilihat di negara-negara ASEAN dan pasaran sedang pesat membangun.

Sementara itu, lebih 30,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah ditutup sejak PKP dikuatkuasakan pada Mac.

Pasaran buruh turut tidak terkecuali daripada pandemik tersebut. Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar pengangguran di negara ini mencecah 5.3 peratus pada Mei 2020 daripada lima peratus pada April 2020 berikutan jumlah pengangguran yang meningkat sebanyak 47,300 kepada 826,100 orang.

Mengenai jualan kenderaan, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata hanya 141 kenderaan telah dijual pada April 2020, mencatatkan penurunan yang besar sebanyak 22,337 unit atau 99.37 peratus berbanding 22,478 unit telah dijual pada Mac 2020.

Langkah-langkah menutup sempadan global dan sekatan perjalanan, COVID-19 turut memberi impak kepada eksport, terutamanya pada suku kedua 2020.

“Eksport pada suku kedua 2020 merosot 14.3 peratus tahun ke tahun kepada RM210.3 bilion.

“Pada April sahaja, eksport susut 23.8 peratus tahun ke tahun kepada RM64.9 bilion, mencatatkan kemerosotan terbesar sejak September 2009 semasa krisis kewangan global pada 2009, manakala penurunan pada Mei turut naik 25.5 peratus tahun ke tahun kepada RM62.7 bilion,” menurut Jabatan Perangkaan dalam laporan bulanannya.

Malaysia Antara Negara Pertama Perkenal Pakej Rangsangan

Menyedari kes jangkitan COVID-19 semakin meningkat di Malaysia sejak 25 Jan, Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion dengan mengangkat tema ‘Memperkukuh keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan’ agar impak risiko pandemik ke atas ekonomi ditangani secara berkesan.

Sekali gus, Malaysia merupakan antara negara pertama di rantau ini yang memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi susulan COVID-19.

Berikutan impak pandemik global itu semakin ketara ke atas negara, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengumumkan langkah-langkah yang tidak pernah dilaksanakan sebelum untuk mengekang kesan negatif ke atas ekonomi — keseluruhan empat pakej rangsangan bernilai RM305 bilion, atau 20.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia merangkumi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion; PRIHATIN Tambahan bernilai RM10 bilion khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana serta mikro; Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM35 bilion serta Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN) bernilai RM10 bilion.

Kerajaan juga menggunakan pendekatan 6R — ketegasan; ketahanan; pembukaan semula; pemulihan; merancakkan semula dan pembaharuan (‘resolve’, ‘resilience’, ‘restart’, ‘recovery’, ‘revitalise’ dan ‘reform’), untuk memerangi pandemik dan mencatatkan pemulihan daripada kemerosotan sosio-ekonomi.

Dari segi langkah monetari, Bank Negara Malaysia telah mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 125 mata asas secara keseluruhannya, kepada 1.75 peratus.

Moratorium secara menyeluruh selama enam bulan turut diperkenalkan untuk mengurangkan impak pandemik ke atas ekonomi dan sosial.

Berasaskan semua langkah pengekangan yang diambil, kedudukan fiskal negara sama sekali tidak boleh dielakkan daripada turut terkesan apabila defisit fiskal Malaysia dijangka pada 5.8 peratus hingga 6.0 peratus daripada KDNK 2020, meningkat daripada defisit 3.4 peratus daripada KDNK pada 2019.

Sesi Parlimen pada Ogos telah meluluskan usul untuk menaikkan had hutang kepada 60 peratus daripada KDNK, berbanding 55 peratus sebelum itu untuk mengurangkan kesan pandemik ke atas perniagaan bagi tempoh sementara.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, nisbah hutang kepada KDNK negara dijangka mencecah 56 peratus pada akhir tahun ini.

Bagi memastikan Malaysia mampu pulih daripada kesan pandemik, Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 Nov telah memperuntukkan RM322.5 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan, sekali gus menjadi belanjawan terbesar dalam sejarah negara.

Isyarat pertumbuhan ekonomi mula dirasai sejak Jun

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diperkenalkan pada Mei dan Jun lepas, perniagaan dibenarkan membuka semula operasi mereka dan langkah ini dilihat memberi manfaat kepada pemulihan ekonomi.

IHS Markit melaporkan peningkatan ketara PMI kepada 45.6 pada Mei 2020 dan seterusnya, naik kepada 51.0 pada Jun 2020 iaitu tertinggi sejak September 2018, sekali gus memberi isyarat bahawa kemerosotan ekonomi telah mereda.

Malah, pertumbuhan eksport semakin baik mulai Jun 2020 apabila ia meningkat semula 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM82.9 bilion dan berlanjutan dalam keadaan positif bagi bulan yang berbaki sehingga Oktober 2020 (naik 0.2 peratus tahun ke tahun).

Penguncupan KDNK bagi suku ketiga 2020 menyederhana kepada 2.7 peratus berbanding pertumbuhan 4.4 peratus dalam suku yang sama tahun lepas, memberikan petunjuk wujudnya pemulihan dalam ekonomi.

“KDNK negara menunjukkan isyarat pemulihan daripada negatif 28.6 peratus pada April 2020 kepada negatif 3.2 peratus pada Jun.

“Kita menyaksikan pemulihan bentuk (lekuk) ‘V’’ bermula Mei 2020. Sehubungan itu, Jun adalah petunjuk baik bagi membuktikan bahawa ekonomi semakin pulih,” kata Tengku Zafrul kepada Bernama dalam temu bual pada Ogos.

Sebelum itu, BNM mengunjurkan KDNK Malaysia adalah antara -5.5 dan -3.5 peratus pada 2020.

Mengenai unjuran untuk 2021, Tengku Zafrul dalam temu bual berasingan dengan Bernama pada November berkata, beliau optimis KDNK Malaysia pada tahun depan akan naik kepada 6.5 peratus hingga 7.5 peratus seperti diunjurkan kerajaan.

Beliau berkata, jangkaan ini dibuat berdasarkan beberapa andaian seperti peningkatan dalam permintaan ekonomi serta vaksin COVID-19 yang dijangkakan boleh diperolehi pada suku pertama 2021 yang akan memberi kesan limpahan positif kepada Malaysia.

– BERNAMA

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat