Oleh Zihan Zari
BAGAN DATUK – Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) yang telah berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang diharap berjaya menjadi usahawan, mampu mencipta peluang pekerjaan untuk diri sendiri dan orang lain.
Pengarah Sekretariat Usahawan Perak, Mohd Rozlan Mohamad Razalli berkata POLYCC telah melaksanakan Program Inkubator Keusahawanan yang menawarkan ruang niaga, latihan praktikal serta bimbingan mentor bagi melahirkan usahawan muda berdaya saing.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program TikTok Onlinepreneurs Challenge & Inspiring Talks with Creators POLYCC Perak 2025 di Politeknik Bagan Datuk (PBD) dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti, Ts. Abdul Razak Sabtu dan Pengarah-Pengarah POLYCC Zon Perak.
Mohd Rozlan optimis, program ini akan menjadi pemangkin kepada Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2021-2025.
Ia bukan sekadar sebuah program, tetapi sebuah wadah strategik untuk melahirkan usahawan siswazah yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, dan memiliki daya saing yang lestari.
Menurut beliau, sinergi ini jelas membuktikan kesungguhan untuk membina ekosistem keusahawanan yang kukuh, seterusnya membuka peluang luas kepada anak muda.
Katanya, inisiatif inkubator keusahawanan yang dilaksanakan ini merupakan nadi kepada pembentukan minda usahawan dalam kalangan pelajar terutamanya di POLYCC.
Di sinilah nilai keusahawanan diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan dan di sinilah lahirnya pelajar yang bukan sahaja celik ilmu, tetapi juga celik peluang.
“Kita kini berada dalam era digital yang menyaksikan ledakan besar dalam dunia keusahawanan, khususnya menerusi platform media sosial seperti TikTok.
“Ramai usahawan muda kini menggunakan TikTok bukan sekadar untuk hiburan, tetapi sebagai platform pemasaran utama untuk produk dan perkhidmatan mereka. Lebih menarik lagi, kemunculan kecerdasan buatan (AI) telah mengubah landskap ini secara drastik.
“AI kini membantu usahawan dalam mengenal pasti trend, menganalisis tingkah laku pengguna, dan menjana kandungan yang lebih kreatif dan relevan,”katanya lagi.
“Saya percaya, setiap video TikTok yang dihasilkan bukan sahaja berpotensi menjadi tular (viral), tetapi juga mampu mengubah tontonan menjadi pendapatan yang lumayan, ”tambahnya lagi.
Dalam pada itu, sebanyak 16 buah POLYCC Zon Perak melibatkan seramai 48 orang pelajar telah menyertai Program TikTok Onlinepreneurs Challenge & Inspiring Talks with Creators POLYCC Perak 2025.
Menerusi kenyataan Kolej Komuniti Gerik (KKGP) berkata, program yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan melahirkan generasi muda, bukan sahaja celik teknologi, malah berani mencipta peluang sebagai pemain utama dalam keusahawanan digital.
Selain itu, sebagai langkah proaktif dalam memberi pendedahan awal kepada pelajar POLYCC khususnya Zon Perak mengenai potensi besar platform TikTok sebagai medium keusahawanan serta membimbing mereka menjadi usahawan yang kreatif dan berjaya dalam gelombang digital masa kini.
“Program ini telah dilaksanakan secara kolaborasi strategik bersama kerajaan Perak melalui Sekretariat Usahawan Perak (STeP) bagi memperkasakan usahawan digital di negeri ini, ”kata kenyataan itu lagi.
Tambahnya, program ini juga merupakan jambatan penting untuk menghubungkan POLYCC dengan ekosistem keusahawanan negeri.-SUARA.TV



