Lian Ker ingatkan BN jangan jadi ‘budak suruhan’, mahu MCA kekal bersama BN

KUALA LUMPUR – Politik parti tidak boleh bertahan dengan sikap suka diampu atau mengampu, berdiam diri atau menjadi pak turut membuta tuli.

Bekas Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker mengingatkan, budaya ini mungkin menyeronokan pemimpin atasan buat sementara, tetapi ia tidak akan memulihkan kredibiliti parti, apatah lagi mengembalikan relevan dan kekuatan Barisan Nasional (BN) yang sudah hilang popularitinya.

Tegas beliau, sebuah parti tidak akan mempunyai masa depan cerah sekiranya budaya “budak suruhan” bercambah dan dibiarkan.

“Budaya budak suruhan yang hanya mengampu pemimpin dan menekan suara akar umbi tidak akan menyelamatkan MCA.

“Hanya prinsip, keberanian, dan kepimpinan yang tegas mampu memulihkan maruah parti.

“Saya akan terus mendukung perjuangan MCA dan BN tetapi bukan dengan budaya bodek, bukan dengan sikap pak turut, dan bukan dengan diam membisu.

“Budaya budak suruhan hanya akan mempercepatkan kejatuhan. Keberanian untuk bersuara walaupun tidak popular adalah satu-satunya jalan untuk memulihkan maruah dan masa depan parti.

“Berbicara tentang prinsip demokrasi, belajarlah dari kata-kata Voltaire “saya mungkin tidak bersetuju dengan apa yang anda katakan, tetapi saya akan mempertahankan hingga ke akhir hayat hak anda untuk mengatakannya,” ujar Lian Ker.

Beliau menegaskan, MCA mesti kekal setia kepada BN, tetapi kesetiaan tidak bermakna berdiam diri.

Kata Lian Ker, kesetiaan tanpa keberanian hanyalah kehambaan dan kehambaan tidak akan memenangkan pilihan raya.

“Kekalahan tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk menutup mulut ahli parti lebih-lebih lagi dalam era media sosial. Jika logik itu dipakai, MCA sendiri sepatutnya berdiam diri selepas kekalahan demi kekalahan pilihan raya dan membiarkan sahaja DAP mentadbir sehingga PRU akan datang.

“Patutkah MCA dan jurucakapnya yang sudah kalah disuruh berdiam diri, seperti sindiran Anthony Loke: “Diam MCA”? Itu bukan demokrasi. Dalam demokrasi, setiap ahli sama ada menang atau kalah berhak, malah wajib, menyuarakan pandangan secara membina.

“Menjadi budak suruhan sudahlah memadai tetapi janganlah sampai pandai-pandai menyedapkan hati pemimpin atas dengan menidakkan hak pemimpin akar-umbi bersuara dan memberi pendapat dan pandangan.

“Saya bukan pemain politik yang mengejar jawatan, tetapi pekerja politik yang digerakkan atas kepercayaan dan keyakinan perjuangan. Oleh itu saya tetap setia dan aktif dalam parti secara bertanggungjawab walaupun diketepikan sejak tahun 2008.

“Sementara itu, ada “budak suruhan” yang dianggap anak emas kepimpinan, tetapi tewas teruk dalam PRU lepas dan masih gagal mendapat penerimaan di peringkat bahagian mahupun negeri cuba mendiamkan saya walhal ramai ingin saya teruskan dengan tulisan saya.

“Bezanya jelas: saya mungkin tidak mahir dalam seni mengampu, malah sering menjadi sasaran cantasan politik. Tetapi saya tetap berpegang pada maruah dan prinsip perjuangan dan hak bersuara secara ikhlas dan bertanggungjawab,” jelas beliau.

Kata Lian Ker, apa yang paling mengecewakan akar umbi bukanlah kekalahan parti, tetapi ketiadaan keputusan. Terlalu banyak mesyuarat, perbincangan, dan sesi “brainstorming” ada yang diadakan di Genting tetapi akhirnya tiada arah dan tiada kesimpulan.

Tambah beliau, atas semangat demokrasi, saya menyuarakan keresahan akar umbi dan mendesak kepimpinan untuk bertindak tegas. Isu bukan semata-mata kekal atau keluar BN, tetapi tentang imej, naratif, dan keberanian MCA mengatur langkah dan menegur politik Umno, termasuk kerjasamanya dengan DAP yang boleh mengancam “survival” dan kelangsungan MCA sebagai satu parti.

“Saya tidak pernah menggesa MCA meninggalkan BN. Malah, ketika BN tumbang pada 2018, ada desakan kuat supaya MCA keluar. Saya sendiri menghubungi Presiden ketika itu, Tan Sri Liow Tiong Lai, untuk menolak cadangan tersebut.

“Saya kemudiannya membuat kenyataan umum yang tidak popular, menegaskan bahawa MCA tidak akan keluar daripada BN kecuali ia dibubarkan secara kolektif. Pendirian itu saya pegang sehingga hari ini, meskipun berdepan risiko politik, sabotaj, dan penolakan dalaman,” katanya.

Menurut Lian Ker, kritikan beliau terhadap Umno dan MCA tidak pernah bertujuan menjatuhkan atau mengaibkan sesiapapun. Ia berlandaskan prinsip, dan sering mewakili suara akar umbi yang tidak dapat didengar. Dalam politik, keberanian menyatakan kebenaran jauh lebih berharga daripada budaya membodek demi mendapat tempat di hati pemimpin atasan.

“Sebab itu saya kecewa apabila membaca kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Tok Mat, yang menyeru MCA dan MIC supaya tidak berdiam dalam mesyuarat tetapi bersuara dan mengutarakan cadangan dan kemusykilan parti.

“Sekurang-kurangnya, jika keputusan sudah dibuat, pemimpin perlu turun ke padang, adakan roadshow, dan terangkan terus kepada akar umbi hala-tuju dan keputusan semasa.

“Bukan menyuruh ketua bahagian “diam,” bukan menghalang tekanan yang diberi kepada pemimpin pusat, dan bukan berdalih atau hanya menunggu AGM untuk membuat keputusan penting yang perlu dipercepatkan oleh kerana kesuntukan masa.

“Dalam politik, satu malam sudah cukup panjang. Dalam masa sesingkat itu, kita boleh kehilangan ribuan penyokong dan hakikatnya kita telah pun kehilangan banyak ahli muda.

“Namun kepimpinan pusat MCA sering dilihat berlengah, menyebabkan peluang membuat kenyataan politik atau langkah strategik terlepas begitu sahaja. Sikap tidak tegas ini melemahkan parti lebih pantas daripada serangan luar. Sebab itu saya yakin kelangsungan MCA bergantung kepada keberanian keberanian menegur secara membina, mendesak reformasi dalam BN, dan bersuara walaupun tidak disenangi.

“Jika keputusan telah dibuat, pemimpin mesti turun padang dan berinteraksi dengan akar umbi. Jika kepimpinan pusat yang telah diberi mandat masih takut membuat keputusan, maka adakan EGM supaya perwakilan sendiri menentukan hala tuju parti,” kata Lian Ker.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat